Safiq tekad tolak pelawaan Arema

“KEPIMPINAN menerusi teladan”. Semangat itu yang dipamerkan kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim yang bertekad menolak pelawaan kelab Indonesia, Arema-Pelita yang mahukannya menjalani ujian pemilihan.

Baginya kem latihan skuad negara yang berada dalam fasa akhir untuk menghadapi tugasan getir mempertahankan Piala AFF lebih penting walaupun pelawaan kelab Indonesia itu dianggap peluang keemasan dalam mengembangkan karier dan cita-citanya untuk beraksi di luar negara selama ini.

“Walau sekalipun saya tidak mahu terlepas sesi latihan skuad negara kerana keutamaan pada masa kini adalah mempertahankan Piala AFF selepas kancah liga tempatan berakhir baru-baru ini,” kata perancang tengah berusia 25 tahun itu yang mengalami kecederaan penggelangan kaki kanan namun tidak serius.

Katanya, surat kelab terbabit memintanya untuk menghadiri diri bagi menjalani ujian pemilihan pada Jumaat hingga Ahad ini dengan satu perlawanan persahabatan turut diatur.

“Tujuan pelawaan mereka kali ini adalah lebih kepada mahu melihat sendiri corak permainan dan keupayaan saya. “Malah saya difahamkan dua pemain dari Singapura turut dipanggil bagi menjalani ujian percubaan ini.

“Jadi untuk kali ini saya terpaksa menolak kerana misi skuad negara lebih penting. Mereka boleh mengadakan ujian pemilihan lain seandainya benar-benar mahu menggunakan khidmat saya. Kalau ada rezeki saya adalah dan mereka perlu tunggu (masa yang sesuai) jika mahukan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara semalam. Menurut pakar sepakan percuma negara itu, walaupun belum mendapat pelepasan daripada mana-mana pihak, dia sudah membuat keputusan untuk menolaknya.

Difahamkan skuad Arema-Pelita kendalian bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun Indonesia, Rahmad Darmawan merancang untuk menguji beberapa pemain termasuk Safiq dalam perlawanan persahabatan menentang Gresik United pada Ahad.

Gaya permainan pemain tengah Selangor itu dilaporkan mirip bekas bintang Arema Indonesia, Ahmad Bustomi dan Rahmad amat mahukan Safiq kerana menganggap kualiti yang dimilikinya lebih baik berbanding empat pemain tengah lain yang sudah dimilikinya iaitu Hendro Siswanto, I Gede Sukadana, Dedi Kusnandar dan Elgi Melgiansyah.

Kelab yang dilaporkan akan bergabung itu turut mempunyai empat pemain asing yang lain seperti Thierry Gathuesi (Cameroon), Alberto Beto Gonalves Da Costa (Brazil), Keith Jerome Kayamba Gumbs (St. Kitts and Nevis) serta jutawan pertama bola sepak negara, Mohd Safee Sali yang kini turut berada dalam kem latihan negara di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Sumber