Safee lepas ‘tali gantung’

Konflik yang dihadapi penyerang prolifik negara, Safee Sali sudah berakhir apabila dia disahkan boleh mewakili negara pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong, Selasa ini.

Penyerang kelab Pelita Jaya, Indonesia itu juga akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya pada kejohanan Piala AFF Suzuki, bulan depan.

Berita gembira itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad selepas dimaklumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam mengenai status Safee.
“AFC memaklumkan Safee tidak digantung dan pemain Pelita Jaya itu akan bersama pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan di Hong Kong, Selasa ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Boleh berlatih

Bekas penyerang Selangor itu juga tiada mempunyai sebarang halangan untuk turun berlatih bersama pasukan negara kendalian Datuk K Rajagobal.

BH Sukan semalam melaporkan Azzuddin mengesahkan Safee digantung daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan selepas kelabnya, Pelita Jaya bersama 31 kelab di negara itu digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pergantungan FIFA itu dibuat selepas berlaku konflik antara Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Komiti Penyelamat Sepak Bola Indonesia (KPSI) berkaitan status sebenar Liga Super Indonesia (ISL) dan Liga Perdana Indonesia (IPL) sebagai liga sah.

Sementara itu, pengurus Safee, Zakaria Rahim, berkata perkara itu sebenarnya berlaku kerana kesilapan PSSI pada surat yang dihantar kepada FAM.

“Safee tidak pernah digantung dan hanya berlaku kesilapan dalam surat yang dihantar PSSI kepada FAM. AFC juga ada memeriksa dengan PSSI dan memang benar ada kesilapan.

“Mujur benda ini sudah selesai dan dalam masa terdekat ini, AFC dijangka menghantar surat (pengesahan) kepada FAM dalam masa terdekat ini,” katanya.