Rosmalina tinggalkan suami kerana kekasih FB

JEMPOL – Seorang pengusaha gerai makanan bimbang selepas isteri bersama seorang anaknya yang berusia tiga tahun dikatakan menghilangkan diri dari rumah sejak empat hari lalu gara-gara mengikut seorang lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

Mohd. Salleh Hussin, 54, mendakwa, isterinya, Nik Rosmalina Nik Mat, 28, bersama anak bongsu mereka, Nur Alia Nadira, 3, tidak pulang ke rumah di Felda Lui Selatan dekat sini selepas keluar ke pekan Bahau pada Isnin lalu atas alasan untuk membaiki komputer riba.

“Saya jadi bimbang apabila isteri dan anak saya tidak balik ke rumah selepas itu, malah panggilan telefon juga tidak dijawab sampai sekarang,” katanya di sini semalam.

Lebih mengejutkan Mohd. Salleh, dia hanya menyedari dompetnya yang mengandungi kad mesin teler automatik (ATM) lesap pada Selasa lalu sebelum mendapati wang sebanyak RM5,000 dalam akaun bank telah dikeluarkan.

“Saya tidak tahu kenapa dia sanggup meninggalkan saya, kami tidak berselisih faham,” katanya.

Mohd. Salleh bercerai kira-kira 10 tahun lalu sebelum berkahwin dengan Nik Rosmalina pada tujuh tahun lepas.