Resipi, falsafah terbukti berjaya – Raja

BIAR apapun kritikan dan pandangan orang luar, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal tetap akan terus melakukan ‘eksperimen’ kerana yakin pendekatan itu terbukti berkesan apabila menamatkan penantian negara memenangi Piala Suzuki AFF 2010.

Katanya, beliau akan terus menguji pemain dalam aksi persahabatan termasuk menentang Hong Kong di gelanggang lawan pada 16 Oktober ini sebelum mendaftarkan 35 pemain bagi Piala AFF November depan, sembilan hari selepas perlawanan itu.

“Ini resipi dan falsafah saya dan sudah terbukti memberikan kejayaan sebelum ini. Biasalah dalam persiapan kami akan menang dan kalah tapi proses ini sudah saya gunakan pada Piala AFF 2010.

“Bermula Januari hingga September saya sudah menguji 72 pemain dan saya akan mendaftar 35 pemain untuk Piala AFF. Saya uji ramai pemain kerana sebagai persediaan jika ada pemain mengalami kecederaan. Inilah masanya untuk saya menguji pemain,” katanya pada sidang media perkembangan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, pengurus pasukan Datuk Subahan Kamal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.

Sebelum ini tindakan Rajagobal yang terus menguji pemain mengundang rasa kurang senang peminat tempatan serta pemerhati bola sepak antaranya bekas pemain kebangsaan yang kini Penasihat Global Blackburn Rovers, Serbegeth Singh selepas kekalahan 0-2 kepada Vietnam pada aksi persahabatan September lalu.

Serbegeth dalam laporan Arena Metro berkata, skuad Rajagobal perlu meraih keputusan baik dalam tempoh persiapan terakhir ini dan bukannya terus memberikan alasan mahu melakukan eksperimen.

Sementara itu, Rajagobal tetap mengulangi pendirian sama berhubung kepentingan ranking kepada skuad negara yang kini jatuh enam tangga di kedudukan 162 dunia berkongsi tempat dengan Singapura. Ranking itu yang terburuk sepanjang tahun ini selepas Malaysia berada di tangga ke-148 Januari lalu.

“Ranking hanyalah untuk menentukan kedudukan dalam sesuatu kejohanan, ranking dikira menerusi berapa perlawanan kami harungi dalam setahun dan pada tahun ini kami hanya menentang Filipina dan Singapura secara timbal balik serta satu perlawanan dengan Sri Lanka.

“Ranking ini tidak mencerminkan kekuatan sesebuah pasukan. Kami berada pada landasan terbaik, kami hanya tewas kepada Vietnam tahun ini dan dalam perlawanan lain kami tidak kalah,” jelasnya.

Selain bertemu Hong Kong, Harimau Malaya juga menentang Vietnam untuk siri perlawanan persahabatan manakala Thailand dalam rancangan terbaru FAM.