Raja tuntut Harimau mengaum

REKOD buruk skuad negara di pentas Asia ingin dipadam ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang menuntut anak buahnya memberikan aksi terbaik jika mahu melepasi halangan tiga wakil Asia Barat, Bahrain, Qatar dan Yaman pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Australia.

Skuad Harimau Malaya dipertemu dengan tiga pasukan itu dalam Kumpulan D menerusi undian yang dijalankan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Melbourne semalam dan pengendali negara itu optimis mereka mampu memberi tentangan bagi merebut salah satu daripada dua slot ke pusingan akhir daripada kumpulan itu.

“Bagi saya ini satu cabaran menarik untuk pemain. Undian kelayakan bukan pasal nasib, kita perlu hormat semua pasukan. Qatar, Bahrain dan Yaman mempunyai tradisi yang baik dalam kejohanan ini.

“Saya mahu pemain tukar mentaliti, jangan apabila berdepan pasukan Asia Barat, kita mudah memberikan kemenangan. Saya mahu semua pemain memberikan aksi terbaik untuk mencapai misi layak ke Piala Asia 2015,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jika Malaysia, pasukan bukan pilihan dan diletakkan dalam ranking rendah pada undian itu berjaya ke pusingan akhir, ia pasti satu catatan baru dalam sejarah bola sepak negara memandangkan kali terakhir skuad negara layak secara merit pada 1980 selepas kali pertama pada 1976.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pusingan akhir Piala Asia atas slot sebagai tuan rumah bersama pada 2007 manakala pada pusingan kelayakan 2011, skuad kebangsaan terkandas dalam kempen Kumpulan C.

Bagaimanapun jika dilihat rekod pertemuan sebelum ini, Malaysia yang menduduki ranking ke-162 dunia berdepan tugas mencabar untuk layak biarpun undian mereka kali ini tidak seteruk pasukan Asia Tenggara yang lain.

Qatar yang menduduki ranking ke-101 dunia berjaya melangkah ke suku akhir edisi sebelum ini manakala Bahrain (115) dan kini beraksi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menewaskan Malaysia menerusi agregat 4-1 pada pertemuan terakhir kelayakan Piala Dunia 2007.

Biarpun Yaman berada di kedudukan ke-157 dunia namun mereka pernah menewaskan skuad negara 1-0 pada dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu.

Rajagobal bagaimanapun tetap yakin Malaysia berpeluang mencipta sesuatu biarpun sedar keputusan yang akan dicapai pada kempen itu juga menentukan nasibnya bersama Harimau Malaya.

“Jika tidak layak, saya akan membuat keputusan (letak jawatan) tapi kata putus terakhir terletak di tangan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” katanya yang memulakan kempen kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan selepas mengharungi misi mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak automatik ke pusingan akhir kejohanan bersama pemenang ketiga terbaik daripada lima kumpulan terbabit.