Petronas temui minyak Bertam

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Beliau berkata, medan minyak yang terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang itu pada kedalaman air 76 meter.

“Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersial dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu.

“Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial, pengeluaran minyak dijangka akan dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 dan 20,000 tong sehari,” kata Najib pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi di sini semalam.

Dengan penambahan rizab ini, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isi padu asal keseluruhan 64 juta tong.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, negeri Pahang dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga 2014.

“Medan minyak tersebut terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepasi tiga batu dan terletak dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan.