Perompak DJ Best 104 didakwa

JOHOR BAHRU – Seorang remaja bawah umur antara dua lelaki yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak seorang juruhebah stesen radio Best 104 bulan lalu.

Remaja berusia 17 tahun yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Muhamat Arafi Amin Wong, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.

Kedua-dua tertuduh masing-masing dari Saleng, Kulaijaya dan Senai di sini itu didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak dengan bersenjatakan pisau ke atas Julie Diana Omar Shariff, 34, di No. 53, Jalan Kasim Nor, Kampung Sungai Danga, Taman Perling di sini kira-kira pukul 1 pagi, 29 September lalu.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.