Peringatan buat United

NEWCASTLE – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menuntut persembahan terbaik daripada skuad kendaliannya jika berhasrat untuk kembali ke landasan tepat bagi memburu kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

Ferguson berkata demikian menjelang pertemuan menentang Newcastle United di St. James Park malam ini.

Menurut Ferguson, barisan The Red Devils harus mengingat kembali kekalahan 0-3 kepada Newcastle musim lalu sehingga menyebabkan mereka terlepas peluang mempertahankan trofi liga.

Dalam masa yang sama, pengendali kelahiran Scotland itu tidak mahu menyaksikan kekalahan kedua berturut-turut dialami United dalam kempen liga selepas mereka tewas 2-3 kepada Tottenham Hotspur (Spurs) di Old Trafford minggu lalu.

Kini Ferguson menyeru kepada barisan pemainnya agar mempamerkan watak ‘sang juara’ ketika menentang skuad kendalian Alan Pardew itu nanti.

“Kamu harus mencari jalan untuk menang selepas mengalami kekalahan (kepada Spurs),” kata Ferguson.

“Kami tewas 2-3 di tangan Spurs dan kami harus memperbaiki kesilapan itu sekali lagi. Ia sangat mudah untuk difahami.

“Saya berharap kami dapat mencatatkan kemenangan di Newcastle meskipun saya menyedari ia bukan satu perlawanan yang mudah.”

Apa yang pasti, usaha untuk mendapatkan tiga mata berharga menjadi misi penting buat United untuk terus memberikan tekanan kepada pendahulu, Chelsea.

“Beraksi di gelanggang lawan dengan penyokong-penyokong fanatik mereka membuatkan perlawanan itu semakin sukar tetapi kami berharap dapat atasi perkara itu dengan sebaik mungkin.

“Sudah tentu (St. James Park) merupakan salah satu venue yang sukar dalam liga ini dan saya berpendapat, skuad kendalian Pardew mempamerkan aksi cemerlang setakat ini,” tambah Ferguson. – AFP