Perang psiko Fergie

LONDON: Alex Ferguson mengakui revolusi Chelsea tidak mudah ditangani Manchester United pada perlawanan penting malam ini sekalipun beliau tahu apa yang akan dilakukan Blues.

Sejak mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana kali terakhir pada 2010, Chelsea beberapa kali cuba memantapkan semula skuadnya.

Carlo Ancelotti mahupun Andre Villas-Boas gagal melakukannya namun Roberto Di Matteo sedikit sebanyak berjaya melaksanakannya.

Pemangkinnya adalah pemergian Didier Drogba ke China berikutan tindakan keperwiraannya pada final Liga Juara-Juara, Mei lalu.

Nicolas Anelka sudah pergi begitu juga Michael Essien, yang dipinjamkan ke Real Madrid dan Frank Lampard bergelut mencari semula prestasi terbaiknya, jadi peluang untuk melakukan perubahan lebih mudah daripada disangkakan.

Seperti yang dikehendaki pemilik Roman Abramovich, Chelsea menemui jalan terbaru dengan penampilan Juan Mata, Eden Hazard dan Oscar menghasilkan permainan serangan menarik dan menghiburkan.

“Chelsea sering mempunyai alternatif bermain dengan Drogba di depan,” kata Ferguson.

“Mereka boleh bermain hantaran jauh atau melorongkan bola menerusi bahagian tengah.

“Kini ia hanya satu aliran saja. Ia menerusi bahagian tengah sepanjang masa.

“Tapi ia bukannya satu sistem yang mudah ditangani. Oscar dan Hazard dua pemain yang memiliki gaya sama. Dan dengan Mata ketiga-tiganya bermain di belakang penyerang utama.

“Kami perlu mencari jalan untuk menanganinya.” Sebelum kekalahan pada kempen Liga Juara-Juara di Donetsk pertengahan minggu ini, sistem itu ternyata berjaya.

Chelsea setakat ini hanya keciciran dua mata dalam Liga Perdana – keputusan seri tanpa jaringan di QPR – layak ke pusingan 16 terakhir Piala Liga dan berada dalam kedudukan yang baik dalam Liga Juara-Juara.

Ferguson berharap kunjungan ke Ukraine menghadirkan elemen keraguan dalam kem Blues dan dipergunakan sebaik mungkin oleh pemainnya di Stamford Bridge, malam ini.

Saksikan perlawanan hebat ini di sini