Pemandu teksi mati ditikam di perut, kepala

KUALA LUMPUR – Mayat seorang pemandu teksi ditemui dengan keadaan berlumuran darah serta beberapa kesan tikaman dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki di kawasan perkuburan Kristian Jalan Kuari, Cheras di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui orang awam yang melalui jalan pintas di kawasan jirat itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dipercayai ditikam di perut serta cedera di kepala.

“Mangsa cuba melarikan diri sejauh kira-kira 200 meter dari teksinya selepas ditikam oleh lebih seorang suspek di dalam teksi berkenaan berikutan penemuan kesan darah di tempat duduk pemandu,” katanya.

Menurutnya, dokumen pengenalan diri mangsa juga tidak ditemui dan kita percaya ia dilarikan suspek bersama barang berharga mangsa.

“Polis turut menemui dua bilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek, sebilah pisah ditemui berhampiran dengan teksi dan sebilah lagi di lokasi mayat mangsa terbaring,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan