PAYM nafi terlibat ajaran sesat Juruzon

KUALA LUMPUR – Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia (PAYM) hari ini menafikan terlibat dengan ajaran sesat “Juruzon” seperti yang dilaporkan sesetengah pihak sebelum ini.

Yang Dipertua persatuan tersebut, Dr Idris Musa dalam satu kenyataan turut menegaskan, Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah At-Taqwa yang berada di bawah naungan PAYM juga tidak terlibat dengan ajaran sesat sejak penubuhannya pada 2008.
  
Beliau berkata anak-anak yatim tersebut telah dididik oleh pengetua yang ditauliahkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri dan pendidikan sekolah harian serta silibus agama juga mengikut silibus KAFA.
  
“Mereka juga mengikut jadual harian yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir dan diselia oleh warden-warden bertugas,” katanya.
  
Sebelum ini, risalah ajaran sesat Juruzon terbitan Jabatan Mufti Selangor, akhbar Sinar Harian, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo melaporkan persatuan tersebut terlibat dengan ajaran sesat Juruzon. – Bernama