Pahang yakin kekal rentak di Jalan Besar

Kuantan: Berbekal kemenangan 2-1 ke atas Lions XII pada aksi suku akhir pertama 25 September lalu, Pahang yakin mampu mengekalkan rentak itu apabila berkunjung ke laman lawan di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Pemain tengah Pahang, Azamuddin Mohd Akil berkata, prestasi bertenaga dan mantap dipersembahkan pada aksi suku akhir pertama mampu diterjemahkan dengan lebih cemerlang untuk mengecewakan Lions XII sekali lagi, kali ini di kandang mereka sendiri.

Kami percaya dengan semangat dan komitmen tinggi dipersembahkan pemain ketika ini, sasaran dalam kelompok empat pasukan terbaik boleh menjadi kenyataan.

Apa yang diharapkan, jentera serangan dapat menjaringkan gol awal bagi menyentap semangat lawan sambil benteng bertahan dengan baik memastikan gawang tidak dibolosi, katanya semalam.

Dalam pada itu, Azamuddin percaya rakan sepasukan tidak menghadapi masalah apabila beraksi di padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar kerana sudah dua kali beraksi di laman itu selain empat hari berkampung sejak Khamis lalu di Bukit Jalil bagi menyesuaikan diri.

Saya akui bermain di padang tiruan berbeza dan pemain perlu lebih cergas kerana rentak permainan lebih laju. Tapi, dengan pengalaman beraksi dua kali di Jalan Besar, itu bukan masalah dan saya percaya ia dapat membantu pasukan, katanya.