Operasi serbu bersama ke atas Genneva Malaysia Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Satu operasi serbuan bersama dilakukan ke atas Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya hari ini oleh pihak berkuasa kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir agensi-agensi penguat kuasa berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, serbuan itu dilakukannya, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Jabatan Hal Ehwal Komersil Singapura turut melakukan operasi yang sama terhadap Genneva Pte Ltd di Singapura.

“Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati melabur wang masing-masing bagi mengelak menjadi mangsa aktiviti haram dan melanggar undang-undang,” kata BNM.

Genneva Malaysia mengendalikan pembelian dan jualan produk emas.

Syarikat itu mempunyai sekutu di Singapura, China, Hong Kong dan Filipina. – BERNAMA