OKS: Kesilapan merugikan Harimau

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee percaya kesilapan pasukannya sendiri telah menyebabkan mereka tewas 2-1 kepada Gombak United.

Walaupun kebanyakan penyokong menjangkakan Harimau Muda akan menang mudah ke atas Gombak United, Harimau telah ketinggalan 2-0 pada minit ke-64 hasil jaringan Zulfadhi Emran dan Jung Hee Bong, sebelum Wan Zack Haikal menjaringkan penalti untuk Harimau Muda.

Selepas perlawanan, Ong Kim Swee akui tekanan untuk menjuarai liga telah mula menganggu beberapa pemainnya.

“Semestinya saya kecewa dengan keputusan ini. Saingan untuk menjuarai liga memberi sedikit kesukaran kepada pemain saya,” katanya kepada ESPNSTAR.

“Mereka tahu mereka harus beraksi dengan baik dan menang semua perlawanan dan saya rasa itu sedikit sebanyak telah menganggu mereka.

“Kami telah melakukan dua kesilapan yang tidak sepatutnya yang telah membenarkan Gombak menjaringkan gol. Masih mudah untuk bangkit dari ketinggalan satu gol, tetapi untuk melakukan lagi satu kesilapan dan perlu bangkit dari dua gol adalah lebih sukar.

“Kami menjadikannya mudah untuk Gombak bertahan selepas itu, perkara yang mana-mana pasukan akan lakukan apabila mendahului dua gol. Gombak beraksi dengan kekuatan mereka dan menggerakkan bola dengan baik di tengah hingga ke penyerang, tetapi bagi saya, jaringan mereka adalah kerana kesilapan kami sendiri.”

Ong turut akui penghabisan jaringan gol pasukannya juga tidak di tahap terbaik pada perlawanan itu, walaupun telah mendapat banyak peluang baik pada separuh masa pertama.

“Kami mempunyai peluang baik pada separuh masa pertama tetapi gagal mencipta penghabisan yang kemas.
“Apabila anda tidak mengambil peluang sepenuhnya, pasukan lawan akan lebih yakin dan kami sepatutnya menghabiskan perlawanan pada babak pertama. Kami mungkin lebih selesa.”

Beliau juga percaya Harimau Muda yang tidak berpeluang untuk berlatih di atas padang sintetik di Jalan Besar turut memainkan peranan dalam kekalahan mereka.

Mereka telah hadir di stadium untuk berlatih pada hari Jumaat tetapi telah diarahkan untuk berlatih di Geylang kerana pasukan LIONSXII sedang menjalani latihan di situ yang kemungkinan merupakan kesilapan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura.

“Kami tidak mendapat peluang untuk berlatih di padang ini dan telah menjadikannya sukar,” tambah Kim Swee.
“Tidak kira betapa hebatnya anda, anda perlu satu atau dua hari untuk menyesuaikan diri.

“Saya bukan hendak memberi alasan tetapi apabila anda beraksi di padang sintetik, ia berlainan.

“Kami harus mencari cara yang lebih baik untuk berkomunikasi. Kami telah mencuba yang terbaik dan para pemain harus belajar. Kini kami harus menuju ke hadapan dan cari puncanya, samada dari pihak kami atau persatuan.” – espnstar