OKS: Hati saya di Malaysia

Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee telah memberi penjelasan kepada ESPNSTAR tentang spekulasi beliau akan membimbing pasukan Singapura.

Pasukan Harimau Muda yang tiba di Gia Lai, Vietnam pada hari Khamis untuk saingan Piala Newspaper Bawah-21 telah menjadi pilihan antara Singapura, Thailand, Laos, Vietnam dan Sydney FC.

Disebalik membimbing pasukan Harimau Muda dalam musim yang padat, Kim Swee turut dilanda pelbagai spekulasi dan yang terbaru, beliau dikhabarkan akan mengambil alih pasukan Singapura sebagai ketua jurulatih.

Jurulatih yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 walaubagaimanapun menegaskan bahawa beliau kini sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada tahun depan.

“Khabar ini mula tersebar daripada komen dalam akhbar Singapura. Kami sudah biasa dengan gangguan,” kata Kim Swee kepada ESPNSTAR di Vietnam sementara menyiapkan pasukan untuk perlawanan pembukaan dengan Laos B21.

David Foo memberikan komen di todayonline.com menyatakan dia “berharap untuk menyaksikan Ong Kim Swee menggantikan Radojko Avramovic sebagai ketua jurulatih pasukan Singapura.”

“Beliau seorang jurulatih yang baik dan telah membimbing pasukan yang tahu untuk membuat hantaran, mengawal bola dan yang paling penting menyerang.”

Harimau Muda kini juga beraksi di dalam Liga Singapura dan menduduki tempat ke-4 setakat ini dengan berbaik tiga perlawanan.

“Pasukan saya sedang berusaha dan membuat persiapan untuk mencapai matlamat utama kami iaitu mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada tahun depan,” jelas Kim Swee.

“Saya cuba menjadi terbuka untuk semua perkara, termasuk tawaran yang diterima, tetapi saya sentiasa ingin terus membimbing Harimau Muda sampai ke tahap terbaik.

“Kemungkinan jika saya ingin mempertimbangkan tawaran lain, hanya selepas Sukan SEA.” tambahnya.
“Tawaran ini juga menandakan bahawa jurulatih-jurulatih di Malaysia mula dikenali dan mampu untuk ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya menghargai sokongan dari FAM dan Malaysia tanah air saya. Hati saya sentiasa di Malaysia,” katanya lagi.