Messi ledak gol peribadi ke-301

MADRID – Lionel Messi berjaya melakar gol peribadi yang ke-301 apabila meledak dua gol ketika membantu Barcelona membelasah Rayo Vallecano 5-0 dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Teresa Rivero awal pagi semalam.

Selain Messi, turut mencetak gol dalam perlawanan itu ialah David Villa, Xavi Hernandez dan Cesc Fabregas sekali gus menyaksikan The Catalan unggul sebagai pendahulu liga dengan 25 mata.

Ia merupakan gol Messi yang ke-270 buat Barcelona, tidak termasuk 31 gol yang diledak pemain itu buat skuad antarabangsa Argentina sepanjang 419 perlawanan kesemuanya setakat ini.

Jaringan itu juga menyaksikan Messi telah mencetak 13 gol sepanjang aksi liga domestik musim ini.

Jurulatih Barcelona, Tito Vilanova ternyata gembira dengan keputusan itu.

“Kejayaan mengumpul 25 mata daripada 27 mata maksimum sememangnya bukan tugas yang mudah.

“Kami beberapa kali dilihat sekadar mampu melakar keputusan seri dalam beberapa perlawanan sebelum ini, mujur kami kembali bangkit mendapatkan tiga mata berharga,” katanya.

Pada masa sama, Vilanova juga memuji kecemerlangan Messi dalam perlawanan itu.

“Persembahan Messi begitu mengagumkan apabila meledak dua gol yang cantik dalam perlawanan itu.

“Cuma, saya lebih tertarik dengan kesungguhannya membantu benteng pertahanan biarpun kami selesa mendahului lima gol pada penghujung babak kedua,” katanya. – AFP