Mengaku rogol remaja 13 tahun

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga pasar malam berusia 30 tahun yang berkahwin dengan seorang remaja perempuan tempatan berusia 13 tahun di Songkhla, Thailand bulan lalu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, di sini, semalam.

Tertuduh dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol remaja terbabit di rumah sewa lelaki itu di Jalan Saujana, Plentong, Masai di sini yang berlaku sebulan sebelum pernikahan mereka.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Roslan Zakaria yang berasal dari Padang Serai, Kedah didakwa merogol seorang remaja perempuan pada jam 12.30 tengah hari, 10 Ogos lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Roslan didakwa mengulangi perbuatan sama pada jam 12.30 tengah hari pada 13 Ogos lalu dengan kedua-dua kejadian berlaku di lokasi sama.

Kedua-dua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dzul Iswari Mohd Jaafar yang mencadangkan mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana mangsa adalah gadis bawah umur berusia 13 tahun 6 bulan dan seharusnya dilindungi.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Roslan selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, Roslan hanya menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Zamri menjatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan serentak.