Mat Yo fokus Kelantan, Harimau Malaya

Norshahrul Idlan Talaha menafikan dakwaan yang mengatakan beliau bakal berhijrah ke Johor, musim depan.

Beliau menegaskan tumpuannya hanya kepada The Red Warriors yang akan bertemu Selangor pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia Jumaat ini.

Minggu ini dikhabarkan penyerang Harimau Malaya itu bakal menyertai pasukan Johor FA. Namun, beliau dan juga pihak Kelantan FA telah menafikan perkara itu.

“Saya masih terikat kontrak selama setahun bersama Kelantan. Jadi tiada isu sama ada saya bersetuju ataupun tidak untuk berhijrah ke pasukan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

“Belum tahu lagi jika saya akan berpindah, tumpuan saya sekarang hanya untuk Piala Malaysia dan juga Piala Suzuki AFF,” katanya.

Terdapat juga laporan yang menyatakan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bersedia berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan Mat Yo mendapat pelepasan untuk menyarung jersi Johor.

Namun, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan perkara itu dan menyifatkan berita mengenai penghijrahan pemain tersebut tidak berasas.

Selain Mat Yo, Daudsu dan Nurul Azwan Roya turut dikaitkan dengan perpindahan ke Johor.

Walaubagaimanapun, Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata: “Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) mempunyai ikatan dengan Kelantan sehingga tahun depan manakala kontrak Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Nurul Azwan Roya pula hanya akan berakhir November nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

“Kita sudah menghantar surat (penawaran kontrak) kepada semua pemain pada Julai lalu. Jadi kita masih dalam proses berunding dengan mereka sama ada berminat atau tidak untuk terus kekal bersama Kelantan. Tiada perbincangan mengenai perpindahan, jadi mereka kekal bersama kita setakat ini.

“Jadi tidak adil kenyataan sedemikian dikeluarkan sedangkan Liga Malaysia 2012 sendiri masih belum berakhir. Ini sebenarnya melanggar kod etika yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Daudsu turut enggan mengulas lanjut tentang perkara itu: “Tumpuan saya hanya untuk Kelantan dan fokus bagi mencapai misi treble musim ini. Jadi, buat masa ini saya tidak fikir untuk kemana-mana lagi.”