Marlon wira ATM

ATM hanya mampu seri 1-1 dalam dua perlawanan tetapi telah menewaskan LIONSXII 5-4 dalam tendangan penalti untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pasukan tuan rumah telah memulakan perlawanan dengan hanya dua penukaran dalam kesebelasan utama yang telah beraksi di Stadium Jalan Besar pada perlawanan pertama. Zaquan Adha dan Irwan Fadzli membuat penampilan dan telah melancarkan serangan pertama pada minit ke 12 dengan baik sebelum melepaskan Christie Jayaseelan di sayap kiri tetapi tendangannya terlalu tinggi.

LIONSXII menindak balas dengan gerakan pada minit ke 22 dengan hantaran jauh Safirul Sulaiman kepada Shahril Ishak tetapi ketua pasukan Singa itu tidak mengambil kesempatan dan akhirnya diasak oleh Aidil Zafuan.

Walaubagaimanapun pasukan pelawat membuka tirai pada minit ke 27 apabila Shahril menggelecek masuk ke dalam kotak sebelum memberi bola kepada Agu Casmir. Penyerang yang dinaturalisasi itu memberi rembatan kencang yang terkena Aidil Zafuan dan terlepas dari penjaga gol Farizal ‘Ejai’ Harun.

ATM jelas terkejut dan permainan mereka terjejas dengan para pemain kelihatan hilang semangat seketika. Ketua pasukan Hairuddin Omar cuba memberangsangkan pasukan dengan melancarkan serangan pada minit ke 36 tetapi hantaran Zaquan kepada Marlon James tidak ditanduk dengan baik.

LIONSXII, yang terkenal dengan ancaman bola mati, mendapat peluang pada minit ke 38 apabila Safirul Sulaiman dikasari K. Reuben tetapi tendangan percuma Shahdan Sulaiman tidak dikawal oleh Hariss Harun.
Jurulatih ATM, B. Sathianathan yang berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia tiga kali dalam empat tahun, telah memupuk semangat perjuangan pada masa rehat dan ATM mulakan separuh masa kedua dengan lebih tenang.

Khairul Amri telah menggantikan Agu pada minit ke 57 akibat kecederaan dan penjaga gol LIONSXII Izwan Mahbud pula dilayangkan kad kuning akibat membuang masa. Baihakki Khaizan, pemain pertahanan pasukan pelawat yang bermain tanpa rakan sepasukan Safuwan Baharuddin, telah berjaya menangani ancaman Marlon dan Bruno Martelotto tetapi Sathianathan telah mengejutkan semua dengan menggantikan ancaman utama beliau, Christie Jayaseelan, dengan Venice Elphi pada minit ke 52.

Penukaran itu telah menimbulkan kekalutan pasukan pelawat dan hampir-hampir mencipta gol untuk Bruno pada minit ke 75 tetapi sepakan beliau tersasar. Tendangan Marlon pada minit ke 79 telah ditolak keluar oleh Izwan dan percubaan kedua beliau pula terkena tiang.

Perlawanan semakin sengit tetapi pengadil terpaksa memberi 6 minit masa tambahan akibat pemain LIONSXII yang membuang masa dan Marlon merampas gol penyamaan dengan sentuhan terakhir apabila menyepak masuk hantaran Zaquan.

Separuh pertama masa tambahan bermula dengan kedua-dua pasukan membalas serangan demi serangan malangnya, Isa Halim diberi kad kuning kedua dan dibuang padang pada minit ke 95. ATM menguasai perlawanan tetapi tidak mampu menjaringkan gol kemenangan walaupun mempunyai kelebihan pemain.

Tendangan penalti pula bermula tetapi percubaan kedua ATM oleh Aidil diselamatkan Izwan. Farizal juga berjaya membuat yang sama apabila menolak keluar percubaan Shaiful Esah dan kedua-dua A. Varanthan dan Baihakki pula tidak berjaya menjaringkan gol masing-masing. Akhirnya, Fitri Omar menyempurnakan peluangnya sementara percubaan Yasir Hanapi tersasar dan Stadium Selayang terus gempar dengan sorakan penyokong pasukan tuan rumah.