Lubnan tangkap 2 rakyat Malaysia direkrut Al-Qaeda

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Lubnan telah menahan dua warga Malaysia kerana dipercayai menjadi pengebom berani mati dan disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut.

Duta Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan ketika dihubungi Bernama malam tadi mengesahkan kedua-dua lelaki itu ditangkap beberapa hari lepas tetapi tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar tangkapan itu.

Menurutnya, pihak kedutaan hanya mengetahui mengenai tangkapan tersebut kelmarin.

“Mereka ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda. Mereka

akan dibawa ke mahkamah Isnin ini (esok) dan di sana kami akan meminta sama ada mereka memerlukan peguam,” katanya.

Ilango berkata, pejabatnya telah memberitahu Wisma Putra mengenai kes itu supaya ia boleh memaklumkan kepada keluarga suspek yang ditahan itu.

Pada Khamis lepas, akhbar Lubnan, Al-Joumhouria’ memetik sumber pihak keselamatan sebagai berkata, warga Malaysia itu ditahan oleh pasukan perisikan tentera atas dakwaan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Siasatan mendapati dua lelaki Malaysia itu direkrut ke dalam Al-Qaeda oleh seorang lagi rakyat Malaysia sebelum dibawa ke Yaman di mana mereka menemui anggota lain kumpulan itu.

Al-Joumbouria berkata dua bulan lalu, kedua-dua suspek Malaysia itu cuba memasuki Syria menerusi Turki atas misi jihad bagi melakukan serangan berani mati.

Rancangan serangan itu diselaraskan oleh seorang lelaki yang dikatakan bertanggungjawab atas kemasukan semua anggota jihad ke Syria, menurut akhbar itu.

Akhbar itu melaporkan bahawa apabila dua warga Malaysia gagal memasuki Syria, mereka mengambil keputusan untuk pergi ke Lubnan bagi melakukan serangan pengganas tetapi aktiviti mereka dihidu oleh perisikan  tentera.

Selepas dikesan, warga Malaysia itu ditahan dan siasatan menunjukkan mereka bercadang menghubungi seorang individu di Lubnan untuk menyelaras komplot serangan di negara itu. – Bernama