Liverpool elak diaibkan Anzhi

PARIS – Liverpool dijangka berdepan tugas sukar pada aksi Kumpulan A kempen Liga Europa menentang kelab Rusia, Anzhi Makhachkala di Stadium Anfield awal pagi esok.

Skuad kendalian Brendan Rodgers itu perlu mengelak daripada mengalami kekalahan kedua berturut-turut di laman sendiri selepas dikejutkan Udinese 2-3, 4 Oktober lalu.

Sekiranya Liverpool tewas kepada Anzhi, ia akan menjadi sejarah terburuk buat skuad The Reds di pentas Eropah apabila tewas dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri.

Anzhi yang dilabel kelab terkaya di Rusia memulakan kempen musim ini dengan cemerlang, sekali gus mengungguli tangga teratas dalam saingan Liga Perdana Rusia.

Skuad bimbing Guus Hiddink yang masih belum kalah sepanjang lapan perlawanan di Eropah itu pasti akan menjadi ancaman kepada Liverpool.

Pada aksi Liga Perdana England menentang Reading, Sabtu lalu, bintang muda Liverpool, Raheem Sterling muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan untuk menghadiahkan kemenangan 1-0 skuad The Reds dan pertama pasukan itu di gelanggang sendiri.

“Perkara yang paling mencabar adalah berusaha untuk mengekalkan tahap prestasi Sterling seperti sekarang kerana dia mampu menjadi pemain bertaraf dunia pada masa hadapan.

“Perjalanannya masih jauh tetapi buat masa ini, dia beraksi dengan baik.

“Ketika ini, saya tidak terlalu bimbang mengenai Sterling. Dari awal sehingga ke hari ini, aksinya sangat menakjubkan,” kata Rodgers.

Sementara itu, pengurus Newcastle United, Alan Pardew akan menggunakan saingan Liga Europa musim ini sebagai medan bagi menguji kemampuan barisan pemainnya yang kurang berpengalaman.

Shane Ferguson menerima pujian daripada Pardew selepas mampamerkan aksi cemerlang ketika membantu Newcastle menewaskan Bordeaux 3-0.

Newcastle yang kini memimpin carta Kumpulan D akan melayan kunjungan kelab Belgium, Club Brugge di St James’ Park awal pagi Jumaat ini.

Saksikan perlawanan secara langsung di sini