Lance digantung seumur hidup

GENEVA: Lance Armstrong dilucutkan tujuh gelaran Tour de France dan digantung seumur hidup semalam selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memperakui penggantungan Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (Usada) terhadap penunggang Amerika itu.

Keputusan yang lama dinantikan itu menyebabkan sukan berbasikal berdepan krisis terbesar menurut Presiden UCI, Pat McQuaid dan meranapkan impian terakhir Armstrong untuk membersihkan namanya.

“Lance Armstrong tiada tempat dalam sukan berbasikal. Lance Armstrong berhak dilupakan daripada sukan berbasikal,” kata McQuaid ketika beliau menjelaskan bagaimana sukan berbasikal, yang sudah berdekad berdepan masalah dadah, patut memulakan era baru.

“UCI berharap untuk memulakan perjalanan baru dengan mengesahkan ia tidak akan merayu kepada Mahkamah Timbangtara Sukan dan mengiktiraf penggantungan dilakukan Usada.

“Saya meluat dengan apa yang saya baca dalam laporan Usada.” Pada 10 Oktober lalu, Usada menyiarkan laporan mengenai Armstrong dengan penunggang yang sudah bersara itu terbabit dalam program doping paling canggih, profesional dan berjaya pernah dilihat dalam sukan itu.

Armstrong, 41, sebelum ini memilih untuk tidak menentang dakwaan Usada, menyebabkan Usada mencadangkan hukuman ke atasnya bergantung kepada kelulusan badan induk berbasikal dunia. – Reuters