KFA tiada masalah terima Nelson

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tiada sebarang masalah untuk menggunakan semula khidmat pemain import berpengaruh dari Chile, Nelson Sam Martin bagi musim baru Liga Perdana 2013.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Hamdan Mohamed Khalib berkata, Nelson dijangka hadir ke Alor Setar minggu depan, lapor MOHD FAHMI ISMAIL.

“Kita ada menghubungi Nelson meminta dia supaya hadir ke ujian pemilihan pada 26 Oktober ini.

“KFA pada dasarnya ok. Cuma, keputusan akhir bergantung di tangan jurulatih, Mario Tot. KFA harus mengambil kira semua pihak termasuk pandangan Tot sendiri,” katanya enggan pisang berbuah dua kali seperti kes Marlos Alex James yang terlepas kepada pasukan ATM musim ini.

Nelson yang membantu Kenari meraih tiga kejuaraan pada musim 2007/2008 beraksi kali terakhir bersama Home United FC di Liga Singapura tahun lepas.

Sementara itu, Hamdan menjelaskan satu mesyuarat pengurusan akan diadakan pada Rabu ini bagi menentukan status pemain yang kekal ataupun digugurkan.

“Tapi, buat masa ini saya enggan mengulas lanjut. Tidak adil mengumumkan sekarang. Kena tunggu tanggal 10 Oktober ini,” katanya mengakui terdapat nama besar bakal sertai kem Hijau Kuning pada tahun depan. – sinar harian