Kelantan belum selamat

KELANTAN belum boleh menarik nafas lega sekalipun melakar kemenangan 1-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kelantan terlebih dulu dikejutkan dengan beberapa siri serangan awal pasukan pelawat menerusi gandingan, Mohd. Amri Yahyah dan Basko Balaban.

Tersentak dengan asakan tersebut, Kelantan memperkemas serangan dan memperoleh dua peluang terbaik pada minit keenam dan ketujuh.

Bagaimanapun, percubaan Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azuan Roya berjaya ditepis oleh penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

The Red Warriors terus ‘menekan’ benteng pertahanan Gergasi Merah dan hampir berjaya memecahkan kebuntuan gol menerusi Mohammad Ghaddar pada minit ke-15, namun penyerang import itu masih gagal merobek gawang lawan.

Indra Putra Mahyuddin turut hampir meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-41,

namun rembatan kencangnya berjaya ditepis Norazlan.

Bersambung babak kedua, Kelantan dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun sekali lagi kecewa dengan ketumpulan jentera serangan mereka,

Usaha tuan rumah untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil pada minit ke-62 menerusi Nor Farhan Mohammad yang bijak memperdayakan benteng pertahanan pelawat.

Selangor memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-77, namun sepakan percuma kapten, Safiq Rahim sedikit tersasar.

Dengan keputusan itu, Kelantan dijangka berdepan tugas sukar apabila bertandang ke Stadium Shah Alam, Jumaat ini bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua.

Highlights