Karim digantung 6 tahun

SELEPAS hampir tiga bulan menunggu, keputusan penuh berhubung siasatan yang dijalankan ke atas bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim (gambar) akhirnya diketahui.

Berkuat kuasa semalam, beliau telah dikenakan penggantungan selama enam tahun oleh KOM dan tidak dibenarkan untuk mengemukakan rayuan.

Presiden baharu KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati Karim bersalah berdasarkan laporan yang diterima badan induk itu daripada jawatankuasa siasatan yang menjalankan siasatan pada Jun dan Julai lalu.

“Selepas meneliti laporan yang kami terima daripada jawatankuasa siasatan, ada bukti yang menunjukkan kes ini memang benar dan Datuk Karim bersalah.

“Jadi, mengikut kuasa yang ada pada kami (KOM), ahli majlis telah sebulat suara menggantung Datuk Karim selama enam tahun.

“Sepanjang tempoh tersebut, beliau tidak boleh mengambil bahagian dalam pemilihan jawatan, baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Malah, jawatannya selaku Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Melaka (POAM) turut digantung,” kata Zainal.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis KOM di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pada 13 Februari lalu, sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk: Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada bekas Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Petisyen yang ditandatangani oleh 42 atlet dan 16 ju- rulatih olahraga negara itu meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa KOM sebelum ini.

Ia termasuklah isu membabitkan pelari, Mohd. Yunus Lasaleh yang gagal dalam ujian antidoping ketika memenangi pingat emas dalam acara 4×400 meter lelaki pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia, November tahun lalu.

Rentetan daripada itu, satu jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan yang dike- tuai oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C. George.

Laporan penuh berhubung siasatan tersebut telah diserahkan kepada KOM pada 20 September lalu.

Mengulas lanjut, Zainal menegaskan bahawa beliau tidak mahu perkara itu dibangkitkan lagi selepas ini.

“Sebagai presiden, saya sudah tidak mahu lagi perkara ini dibangkitkan. Keutamaan kami ketika ini adalah atlet dan jurulatih serta pembangunan sukan olahraga negara.

“Keputusan telah dibuat dan ia adalah muktamad. Masalah-masalah seperti ini langsung tidak mendatangkan faedah kepada KOM.”