Kaka bantu Brazil benam Iraq

MALMO – Perancang Brazil, Kaká membuktikan betapa sentuhannya masih berbisa.Selepas dua tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa, Kaká pantas membalas kepercayaan yang diberikan jurulatihnya, Mano Menezes apabila menyumbang satu gol bagi membantu Brazil membenam Iraq 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Malmo, Sweden semalam.

“Sejujurnya, saya begitu gembira kembali menemui sentuhan meledak gol.

“Semangat untuk beraksi bersama Brazil sememangnya tidak pernah pudar.

“Biarpun Menezes hanya menganggap perlawanan ini sekadar satu perlawanan ujian, ia sebenarnya cukup bermakna buat saya.

“Sejujurnya, saya gembira dapat memberikan yang terbaik supaya kekal dalam skuad selepas ini,” kata Kaka.

Selain Kaká, turut meledak gol buat Brazil dalam perlawanan itu ialah bintang baharu Chelsea, Oscar yang berjaya meledak dua gol manakala Hulk, Neymar serta Lucas juga tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring.

Selepas berdepan Iraq, skuad Samba yang juga juara Piala Dunia sebanyak lima kali bakal berdepan Jepun di Poland dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa, Rabu depan.

Dalam pada itu, jurulatih Iraq, Zico yang juga bekas jurulatih Brazil kurang berpuas hati dengan perlawanan tersebut.

Ini kerana Iraq yang tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri gara- gara faktor keselamatan, bakal berdepan Australia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 di gelanggang berkecuali di Doha, Qatar, Selasa depan.

“Sepatutnya, saya mahu berdepan Wales sebagai perlawanan persediaan (sebelum berdepan Australia) dan bukannya Brazil.

“Ia sesuatu yang tidak masuk akal apabila terpaksa beraksi dalam suhu sejuk di Sweden sebelum kembali semula ke Qatar yang sememangnya panas.

“Tidak mustahil, prestasi anak- anak buah saya bakal terjejas ketika berdepan Australia kelak,” kata Zico. – Reuters

Highlight