Johor FA inginkan Safiq Rahim

Pasukan Liga Perdana Malaysia, Johor FA berminat untuk mendapatkan kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim untuk musim depan.

Akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa pengurus pasukan Johor FA, Fandi Ahmad menganggap Safiq sebagai antara pemain terbaik di Malaysia dan mengatakan bahawa ia adalah satu perkara yang hebat jika Johor menandatanganinya.

“Safiq seorang pemain yang bijak dengan mempunyai sikap seorang pemimpin yang berkualiti.

“Dia juga pemain bola sepak yang baik dan mampu melakukan perubahan dalam pasukan. Ia sesuatu yang hebat jika dia beraksi untuk kami musim depan,” kata Fandi kepada The Star.

“Dia mempunyai kontrak bersama Selangor dan kini sibuk dengan Piala Malaysia. Jadi kita akan lihat selepas Piala Malaysia tamat nanti.”

Fandi turut memberitahu bahawa Johor FA akan melakukan rombakan dalam pasukan dan hanya lapan pemain akan dikekalkan termasuk pemain import Mureil Orlando dan Andrezinho.

Selain Safiq, Johor juga berminat untuk mendapatkan dua lagi pemain Harimau Malaya.

“Saya harap kami akan menyelesaikan penyertaan pemain-pemain baru sebelum mesyuarat umum Johor FA – mungkin akhir bulan ini atau awal November dimana kami akan umumkan pemain-pemain dan bersedia untuk musim baru,” katanya lagi.