Jasa Mahali dikenang Harimau

Kapten Harimau Muda, Mahali telah mengetuai pasukan ke kemenangan terakhir dan mengakhirinya dengan jaringan gol serta pesanan kepada rakan sepasukan.

Harimau meninggalkan belang, manusia pula meninggalkan nama. Nama Mahali Jasuli kini tidak akan disertakan lagi dalam skuad Harimau Muda akibat umur beliau yang lanjut, 23 pada tahun depan.

Walaubagaimanapun prestasi beliau semasa mewakili pasukan akan sentiasa dikenang dengan pendekatan fizikal di benteng pertahanan yang sering memusnahkan gerakan saingan sementara gandingan usaha dengan pemain sayap digeruni pihak lawan.

Mahali sempat menjaringkan gol pada minit ke 82 dalam perlawanan terakhir beliau dan mengetuai pasukan ke kemenangan 3-1 ke atas Geylang United yang menjaminkan tiga mata – ia bermakna Harimau Muda kini di tangga ke tiga Liga Singapura dengan dua perlawanan sebelum akhir musim.

Beliau telah memberi ucapan yang penuh emosi kepada rakan sepasukan di Amara Hotel selepas perlawanan: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih yang telah membantu dan mendorong pasukan kami dan kepada para pemain untuk kenangan manis selama ini, lima tahun saya bersama Harimau Muda, saya rasa saya telah menamatkan tahun ini dengan cemerlang setelah kejayaan bersama-sama.”

“Dalam masa saya bersama Harimau Muda, saya telah mendapat dua pingat Sukan SEA, satu Liga Perdana dan satu pingat AFF, jadi saya harap anda semua dapat ikuti jejak langkah saya.” Katanya kepada rakan sepasukan. “Tidak lupakan jaringan gol pada perlawanan terakhir untuk saya termasuk konvokesyen sebagai pelajar, saya rasa saya akhiri tahun ini dengan cemerlang.”

“Saya harap rakan-rakan mendoakan saya semoga saya terpilih dan Malaysia boleh jadi juara lagi.” kata Mahali mengakhiri tugas sebagai kapten.

Kehilangan beliau akan dirasai ramai dalam pasukan namun mereka turut mengucapkan selamat jalan kepadanya.

“Terimah kasih Mahali! Prestasi anda selama ini amat mengagumkan dan sumbangan anda kepada pasukan akan selalu dikenang. Semoga anda berjaya menghadapi cabaran baru.” kata jurulatih Yong Wai Hwang kepada Mahali.

“Terima kasih kapten dan selamat maju jaya bersama pasukan baru. Kekalkan prestasi pada tahap tertinggi sentiasa!” jurulatih Ong Kim Swee

“Selamat maju jaya dalam karier bolasepak dan jadikan ilmu yang dipelajari bersama Harimau Muda sebagai bekalan yang berguna di kelab baru nanti. Harap anda akan terus mempraktikan demi kemajuan diri pada masa depan.” Coach Hasan.

“”Ini adalah musim terakhir bagi ketua pasukan kami Mahali dan keputusan ini merupakan hadiah terbaik bagi beliau setelah menjadi pemain contoh selama lima tahun ini.” Wan Zack Haikal. – espnstar