Irfan: ‘Saya amat kecewa’

“KEKALAHAN ini amat mengecewakan. Itu keluhan jurulatih Selangor, Irfan Bakti selepas menyaksikan pasukan bimbingannya menamatkan kempen Piala Malaysia musim ini dengan tewas  kepada Kelantan semalam.

Kelantan mengatasi Selangor dengan agregat 3-0.

Jelasnya, kekecewaan itu bertambah perit apabila kegagalan tersebut berlaku di Stadium Shah Alam, di hadapan ribuan penyokong skuad The Red Giants.

“Saya amat kecewa. Kita melepaskan banyak peluang untuk mencipta kemenangan.

“Kita banyak kehilangan bola di bahagian tengah, malah apabila jaringan Ghaddar dihasilkan, ia terus memusnahkan segala-galanya. Ia sama berlaku ketika beraksi di Kota Bharu,” kata Irfan ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan antara Selangor dan Kelantan.

Tambah Irfan: “Meskipun kita menguasi separuh masa pertama, tetapi momentum separuh akhir kedua menurun, pemain bahagian tengah kurang membantu pemain lain.” “Disebabkan itu kita banyak melepaskan peluang,” katanya.

Katanya, beliau juga sedih sebab apabila dilihat pada kehadiran penonton malam tadi, hampir 30,000 penonton memberikan sokongan.

“Mereka nyata bersemangat, saya betul-betul minta maaf sebab mengecewakan mereka, tapi nak buat macam mana, setakat ini sahaja kami mampu,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai masa depannya di Selangor, Irfan bagaimanapun menyerahkan semuanya kepada pengurusan.

“Terpulang kepada pihak pengurusan, saya terima apa sahaja keputusan daripada mereka. Keputusan mungkin akan diketahui dalam masa terdekat,” kata Irfan yang turut menyifatkan pasukan Selangor harus mencari pemain-pemain yang berkualiti untuk dibawa masuk bagi memantapkan lagi skuad itu musim depan.

“Untuk musim depan, kita kena cari beberapa pemain yang berkualiti dalam pasukan Selangor.

“Dan setahu saya pihak pengurusan telah mengenal pasti beberapa pemain untuk bermain dengan Selangor dan semuanya tengah diuruskan.

“Selain itu, kita juga harus memberi tumpuan di bahagian tengah yang dilihat longgar bagi memperbaiki menjadi lebih kemas,” katanya yang mengucapkan tahniah kepada Kelantan setelah berjaya mara ke final.