Higuain, Ronaldo belasah Mallorca

MADRID: Gonzalo Higuain dan Cristiano Ronaldo masing-masing meledak dua gol untuk membantu Real Madrid membelasah Mallorca 5-0 awal pagi semalam lantas memberi tekanan kepada pasukan di tangga teratas La Liga.

Jose Callejon menghasilkan gol kelima untuk Real kekal di tangga keempat, satu mata di belakang Malaga di tangga ketiga dan lapan mata di belakang peneraju liga, Barcelona yang menewaskan Rayo Vallecano 5-0 kelmarin dan pasukan di tempat kedua, Atletico Madrid.

Ronaldo kini menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut buat Madrid dengan mengumpul 14 gol dengan 11 daripadanya dalam liga.

Sementara itu, Radamel Falcao mencipta gol ke-10 liga ketika Atletico Madrid menumpaskan Osasuna 3-1 bagi menyamakan mata dengan Barca.

“Musim lalu kami pernah memiliki kelebihan 10 mata dan kami masih menyatakan bahawa saingan liga masih terbuka, jadi kami harus berfikiran sama dan terus mengutip mata,” kata jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho.

“Malam ini (semalam) sangat penting kerana ia perlawanan paling sukar dalam kempen musim ini tapi kami bukan hanya mengejar Barca, Atletico juga memiliki kelebihan besar tapi akan terus memberi tentangan.” Atletico terus bersaing dengan Barca di tangga teratas selepas kelab Catalan itu mencatat kemenangan 5-0 ke atas Rayo Vallecano dalam aksi 24 jam lebih awal.

Mereka mempamerkan permainan meyakinkan di Vicente Calderon untuk merekod kemenangan 12 berturut-turut dalam semua pertandingan. – AFP

Saksikan highlight perlawanan di sini