Harimau Muda waspada jumpa Balestier

ADA sesuatu yang mengganggu fikiran pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Balestier Khalsa dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun hari ini.

Ia ekoran kekebalan benteng pertahanan skuad kendalian Darren Stewart itu yang dilihat cukup ampuh apabila sekadar bolos 17 gol dalam saingan musim ini.

Justeru, Kim Swee menuntut anak-anak buahnya sentiasa berwaspada dengan serangan kilat Balestier jika enggan ‘berputih mata’.

“Mereka hanya bolos 17 gol, jadi saya percaya Balestier pasti mengamalkan corak bertahan. Jika kami terlalu asyik menyerang, tidak mustahil kami akan dihukum serangan pantas Balestier.

“Jadi, saya harap pemain dapat bertindak matang dalam perlawanan itu sekali gus membawa pulang tiga mata,” kata Kim Swee.

Untuk rekod, aksi Harimau Muda-Balestier sepatutnya berlangsung pada 27 September lalu, namun perlawanan itu terpaksa ditangguhkan gara-gara faktor cuaca.

Harimau Muda ketika itu sedang mendahului 1-0 hasil jaringan A. Thamil Arasu.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam pusingan pertama Liga S sebelum ini juga tidak memihak Harimau Muda apabila kecundang 0-2 di Stadium Toa Payoh, April lalu.

“Perkara yang dilepas tak perlu dikenang, saya percaya pemain-pemain saya sudah bersedia membuka ‘buku’ baharu dalam perlawanan itu nanti.

“Ia cukup penting buat kami yang memerlukan sekurang-kurangnya dua lagi kemenangan bagi menamatkan saingan di tangga kelima liga musim ini,” kata Kim Swee.

Selepas menentang Balestier Khalsa, Harimau Muda yang kini mengutip 35 mata bakal membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari selepas itu.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.