Harimau Muda tetap dicabar

ATAS kertas, misi Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan Liga Singapura 2012 (Liga S) musim ini tampak sukar dicabar mana-mana pasukan.

Selepas mengumpul 41 mata setakat ini, skuad kendalian Ong Kim Swee itu kini berada di tangga keempat liga dengan baki dua perlawanan, mengatasi Home United dan Balestier Khalsa yang kini di tangga kelima dan keenam.

Begitupun, Kim Swee mencabar anak-anak buahnya mempamerkan persembahan bertenaga untuk menamatkan saingan di kedudukan lebih baik berbanding misi asal mereka sebelum ini untuk menghuni tangga kelima liga.

Menurut beliau, pertemuan menentang pasukan di tangga kelapan, Hougang United di gelanggang lawan malam ini bakal dijadikan kayu ukuran sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar tahun depan.

“Saya berharap pemain Harimau Muda tidak cepat berasa selesa dan memandang mudah dua lagi perlawanan selepas ini.

“Biarpun sasaran awal menamatkan saingan di tempat kelima Liga S sudah berada dalam genggaman, saya cabar pemain supaya mampu menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Yishun pada 27 April lalu memihak kepada Harimau Muda yang menang 3-1.

Selepas berdepan Hougang United malam ini, Harimau Muda bakal menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November.

Begitupun, Kim Swee sedar bahawa anak-anak buahnya bakal berdepan ranjau yang cukup berliku ketika berdepan Hougang United malam ini rentetan musibah kecederaan yang menimpa pemain.

Menurut beliau, beberapa pemain utama seperti Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim dan Fandi Othman hampir pasti diketepikan malam ini gara-gara kecederaan serius.

“Saya hanya dapat menggunakan khidmat 16 pemain sahaja untuk baki saingan Liga S selepas ini.

“Antara yang mendapat kepercayaan saya termasuklah Ahmad Hazwan Bakri, Mohd. Azzizan Nordin dan juga V. Kavi Chelvan bagi menggempur kubu Hougang United nanti,” katanya.