Harimau Muda mara ke separuh akhir

Skuad Malaysia Bawah-21 mara ke separuh akhir Piala Newspaper di Vietnam semalam selepas Sydney FC menewaskan Laos B21 2-1 di Stadium Pleiku.

Harimau Muda akan beraksi dalam perlawanan kedua Piala Newspaper esok menentang Sydney FC walaupun telah mara ke separuh akhir.

Walaubagaimanapun jurulatih, Ong Kim Swee berpuas hati pasukannya berjaya capai matlamat pertama untuk ke separuh akhir walaupun tanpa lima pemain tonggak dalam pasukan.

“Matlamat pertama kami untuk mara ke separuh akhir tercapai. Kini kami harus tumpukan kepada perlawanan itu.” katanya kepada ESPNSTAR

Namun, terdapat dua pemain yang cedera sedikit membimbangkan jurulatih itu dan kemungkinan pemain yang tidak beraksi pada kemenangan 4-2 ke atas Laos B21 akan diturunkan esok.

“Kini terdapat dua pemain dalam senarai kecederaan iaitu Fandi Othman dan Syazwan Tajudin. Jadi saya perlu fikirkan pemain yang cukup cergas bagi perlawanan dengan Sydney FC esok dan juga separuh akhir.
“Apa yang penting pemain yang beraksi esok harus mengelakkan diri dari kecederaan kerana kami akan beraksi dalam separuh akhir pada Jumaat.

“Dalam masa yang sama penting untuk saya mempunyai skuad yang sihat dan cergas kerana selepas kejohanan ini tamat, kami akan menyambung saingan Liga Singapura. Akan menjadi masalah jika saya hanya mempunyai 11 pemain untuk ke Singapura.” tambahnya.

Pasukan Sydney FC B21 semalam berjaya menewaskan Laos B21 2-1 di Stadium Pleiku yang seterusnya menyingkirkan Laos dari saingan Piala Newspaper.

Ong Kim Swee walaubagaimanapun yakin apabila bertemu pasukan dari Australia itu esok.
“Sydney FC pasukan yang sangat teratur dan kuat secara fizikal. Mereka juga mempunyai beberapa pemain individu yang berbakat.

“Walaubagaimanapun saya rasa kami mampu menyamai kekuatan mereka.” jelasnya lagi.
Jurulatih Sydney FC B21, Brian Dene yang gembira dengan kemenangan dengan Laos semalam turut memuji pasukannya dan bersedia untuk menentang Malaysia esok.

“Pasukan saya beraksi dengan baik, terutama sekali pada separuh masa kedua apabila kami ketinggalan 1-0. Sukar untuk beraksi menentang pasukan yang sudah biasa dengan keadaan ini berbanding kami. Jadi ia persembahan yang hebat bagi saya.

“Bertemu Malaysia nanti kemungkinan sama seperti apabila bertemu Laos. Kami akan beraksi dengan hantaran bertempo tinggi dan saya rasa kami mampu beraksi dengan baik dengan mereka nanti.

“Akan terdapat beberapa perubahan dalam pasukan. Ini adalah satu pengalaman yang baik untuk para-pemain.” -espnstar