Harimau Muda mara ke final

Harimau Muda mara ke final Piala Newspaper buat pertama kalinya selepas menewaskan Thailand B21 1-0 hasil jaringan tunggal oleh Syahrul Azwari.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee sekali lagi mempamerkan aksi menarik menentang Thailand B21 dan layak untuk ke final Piala Newspaper dan akan bertemu Vietnam Youth Newspaper Ahad ini.

Turun tanpa bek kanan, Azrif Nasrulhaq yang digantung satu perlawanan telah memaksa Ariff Farhan menggantikannya di posisi itu.

Syahrul Azwari penjaring tunggal perlawanan mula berbahaya bagi pihak lawan apabila percubaannya seawal minit pertama tersasar ke kanan gawang gol.

Thailand yang seri 0-0 dengan Singapura dan tewas 2-0 kepada Vietnam Youth Newspaper dalam peringkat kumpulan ternyata hanya bergantung kepada serangan balas.

Pada minit ke-14 Harimau Muda sekali lagi mendapat peluang apabila Ariff Farhan membuat hantaran cantik kepada Hazwan namun tandukannya tidak menepati sasaran.

Dua minit selepas itu Syahrul Azwari membuat hantaran kepada Thamil Arasu dari kanan tetapi percubaan Thamil hanya meleret ke tepi gol.

Serangan bertubi-tubi diteruskan dan masih gagal menembusi gawang gol Thailand apabila bola hantaran Thamil terlalu tinggi untuk ditanduk masuk oleh Hazwan.
Usaha keras pasukan Malaysia itu tidak membuahkan hasil dan separuh masa pertama tamat tanpa jaringan dari kedua-dua pasukan.

Harimau Muda akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-53 selepas serangan bertubi-tubi apabila Hazwan Bakri membuat hantaran lintang yang cantik kepada Syahrul Azwari yang merembat masuk gol ketiganya dalam dua perlawanan berturut-turut.

Walaubagaimanapun penjaring dari Kelantan itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-61 selepas mengalami kecederaan kerana dikasari pemain Thailand. Tempatnya diganti oleh Nurridzuan.
Tiga minit selepas itu Thamil Arasu mendapat peluang hebat apabila dia membawa bola dari tengah ke arah gol tetapi tendangannya tersasar ke kanan gol.

Thailand mula mengasak hebat pada 15 minit terakhir dan kelekaan anak buah Ong Kim Swee hampir menyebabkan Thailand menjaringkan gol penyamaan namun berjaya diselamatkan oleh Izham Tarmizi.

Kemenangan 1-0 itu telah membawa Harimau Muda ke pusingan akhir Piala Newspaper buat pertama kalinya selepas enam tahun kejohanan ini diadakan di Vietnam. Sementara itu, kapten pasukan Irfan Fazail telah dinamakan pemain terbaik perlawanan.

Harimau Muda akan bertemu Vietnam Youth Newspaper yang menewaskan Sydney FC 3-0 pada hari Ahad ini.

Highlight