Harimau Muda mahu penutup bergaya

PEJAM celik, perjuangan Harimau Muda dalam saingan Liga Singapura (Liga S) musim ini semakin sampai ke penghujungnya.

Tatkala misi untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan musim ini di tangga kelima sudah pun berada dalam genggaman Harimau Muda, sudah tentu anak-anak buah Ong Kim Swee mahu melabuhkan tirai Liga S musim ini dengan cukup bergaya.

Bukan apa, mungkin ramai yang sudah lupa betapa skuad muda negara memulakan kempen Liga S musim ini dengan cukup sempurna apabila mengatasi Gombak United 2-0 pada 9 Februari lalu.

Jadi, misi Harimau Muda ‘menutup buku’ musim ini ketika berdepan tugas getir bertemu pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura, Jumaat ini seharusnya berakhir dengan kejayaan.

Atas kertas, rekod pertemuan kedua-dua pasukan begitupun dilihat tidak memihak kepada Harimau Muda yang tewas tipis 2-3 kepada skuad kendalian Tay Peng Kee itu di Stadium Yishun pada 13 Mei lalu.

Tambahan pula, pencetak kedua-dua gol Harimau Muda ketika perlawanan itu, Syahrul Azwari Ibrahim dan Thamil Arasu terpaksa diketepikan kali ini gara-gara dilanda musibah kecederaan.

Namun, bola itu bulat. Tiada yang mustahil dalam bola sepak.

Ia pernah dibuktikan anak-anak buah Kim Swee sebelum ini yang masih berupaya muncul juara dalam beberapa kejohanan jemputan seperti Piala SCTV dan Newspaper Cup baru-baru ini biarpun tanpa beberapa tonggak utama.

Justeru, kemenangan ke atas Tampines Rovers mungkin boleh disifatkan ‘hadiah selamat tinggal’ daripada anak-anak buah Kim Swee.

Ia ekoran mereka masih belum pasti kekal beraksi dalam Liga S ataupun tidak musim depan memandangkan perlu bersedia awal mempertahankan emas pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Terdahulu, Harimau Muda yang unggul di tangga ketiga liga dengan 42 mata setakat ini sekadar seri tanpa jaringan dengan pasukan di tangga kelapan, Hougang United malam kelmarin.

Kecemerlangan penjaga gol Hougang United, Fadhil Salim malam kelmarin juga mengekang Harimau Muda daripada membawa pulang tiga mata berharga.

“Kecemerlangan penjaga gol lawan dilihat menafikan hasrat kami untuk menang biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan.

“Namun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini dan ia satu mata yang cukup penting buat kami,” kata Kim Swee selepas tamat perlawanan.