Harimau Muda lonjak tangga ke 3 Liga S

Harimau Muda telah menewaskan Geylang United dengan keputusan 3-1 di padang sendiri dalam saingan liga Singapura pada malam Rabu.

Harimau Muda mengekalkan rekod tanpa kalah dari Vietnam dengan kemenangan 3-1 ke atas Geylang United di Stadium Yishun pada malam Rabu.

Setelah berjaya merangkul kejohanan Piala Newspaper baru-baru ini, pasukan Ong Kim Swee terpaksa menyertakan hanya 13 pemain termasuk pemain gantian akibat masalah kecederaan dan penggantungan. Izham Tarmizi juga telah diarahkan untuk bersedia dalam posisi penyerang jika diperlukan.

Namun, ia tidak menghalang pemain tengah Irfan Fazail daripada membuka tirai pada minit ke 16, sebelum Gary Robbat menanduk masuk gol kedua dan ketua pasukan Mahali Jasuli menjaringkan gol terakhir pasukannya.

Perlawanan bermula dengan percubaan pertama oleh D Saadvindran pada minit ke tujuh tetapi tendangan beliau tersasar ke kanan gawang penjaga gol veteran Yazid Yasin. Pasukan Geylang United yang juga digelar sebagai Eagles ataupun Sang Helang membalas dengan hantaran Syed Fadhli yang tidak sempat disambut rakan sepasukan lalu dirampas oleh benteng pertahanan pasukan tuan rumah.

Gol pembukaan tirai tiba pada minit ke 16 melalui Irfan yang telah bergegas ke depan gawang untuk menyempurnakan tendangan sudut Wan Zack Haikal. Pasukan pelawat dihampakan lagi oleh pemain tengah mereka, Stefan Milojevic yang gagal menggunakan kelebihan sepakan percuma dari jarak yang dekat.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan kepada pemain tengah Helang, Fabian Kwok setelah beliau mengasari Wan Zack pada minit terakhir separuh masa pertama. Wan Zack disasar lagi apabila dipijak oleh Jalal walaupun telah terlentang akibat dikasari rakan sepasukannya. Pengadil Abdul Malik Bashir tidak tergesa-gesa untuk melayangkan kad kuning walaupun ramai yang berpendapat pemain itu patut dibuang padang.

Babak pertama berakhir dengan sepakan Michael King yang berjaya ditangkap oleh penjaga gawang Farhan Abu Bakar, yang telah menggantikan Izham Tarmizi. Separuh masa kedua bermula dengan penyertaan pemain paling muda Sang Helang, Amy Recha 20 tahun, yang menggantikan Shahril Alias.

Pemain tengah Ang Zhi Wei dilayangkan kad kuning ketiga dalam perlawanan setelah mengasari Nazirul Naim pada minit ke 56 dan Harimau Muda bangkit dengan tandukan Gary Robbat dari tendangan sudut Wan Zack.

Syahid Zaiton turut menyerlah dengan dua percubaan berturut-turut namun dipesong keluar oleh Yazid pada minit ke 63 dan 64. Minit ke 71 menyaksikan dua penggantian untuk pasukan pelawat: Rizawan Abdullah mengambil alih tempat Fabian Kwok sementara Nurhazwan diturunkan untuk menggantikan Michael King.

Gandingan D Saarvindran dan Wan Zack membuahkan hasil apabila mereka berjaya menangani benteng pertahanan Helang untuk memberikan umpanan kepada Mahalli yang terus menyepak masuk gol ketiga pada minit ke 82. Walaubagaimapun pasukan pelawat berjaya mendapatkan gol saguhati hasil tendangan penalti Jozef Kaplan.

Walaupun telah menghadapi berbagai-bagai cabaran seperti pemain yang kotor, keputusan yang mungkin tidak begitu adil, kekurangan pemain serta masa rehat yang pendek, anak muda Malaysia ini telah mengharumkan nama dengan sekali lagi berjuang hingga ke minit terakhir.

Kemenangan ini merupakan perlawanan terakhir Harimau Muda di padang sendiri, Stadium Yishun, dalam saingan Liga Singapura pada musim ini. Pasukan ini kini di tangga ke tiga dengan dua perlawanan dalam tangan. – espnstar