Harimau Muda B akan ke Turki

Skuad kebangsaan Bawah 19 tahun, Harimau Muda B akan menjalani latihan di Turki bermula bulan November ini selama sebulan.

Harimau Muda B akan ditempatkan di Pusat Latihan Antalya, Turki dan akan dijadualkan akan beraksi dalam enam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Perkara ini adalah selaras dengan matlamat untuk menjadikan skuad bawah 19 tahun itu sebagai pembekal pemain kebangsaan di masa akan datang.

Pasukan Harimau Muda A yang pernah menjalani latihan di Slovakia ternyata telah memberi bantuan yang baik untuk skuad Harimau Malaya dengan membekalkan ramai pemain-pemain berbakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara, Datuk Razali Ibrahim berkata, kem latihan dan enam perlawanan itu bertujuan pendedahan memandangkan pusat latihan Antalya turut menempatkan beberapa lagi pasukan bawah umur negara lain dan tuan rumah.

“Penghantaran pasukan ini turut akan meneruskan matlamat menjadikannya (skuad Harimau Muda) sebagai pembekal pemain kebangsaan,” kata Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Utusan.

Selain dari skuad Harimau Muda B, latihan ini juga akan melibatkan pasukan belia Norway dan dua lagi pasukan belum dikenalpasti setakat ini.