Final Piala Malaysia: Kelantan ‘gusar’ tanpa Ghaddar, Farhan

JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak mengakui ketiadaan dua tonggak utama, Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohamad Ghaddar, sedikit menggusarkan beliau menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu ini.

Jelasnya, kali ini Kelantan bakal berdepan tugasan sangat sukar dan mungkin tidak akan mencapai sasaran andai gagal mencipta jurang awal ke atas pasukan lawan.

“Kehilangan Ghaddar dan Norfarhan memang menjadi masalah pada kami sekarang apabila sudah mengutip dua kad kuning.

“Memang benar, kami tidak berada dalam keadaan terbaik kerana kedua-dua pemain ini merupakan penjaring gol dalam dua aksi separuh akhir, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Tambah Bojan: “Ketiadaan mereka berdua bakal memberikan sedikit kesulitan kepada Kelantan dalam usaha merangkul kejuaraan ketiga selepas menjulang Piala FA dan Liga Super musim ini.”

“Saya ada taktik tersendiri menjelang pertemuan itu, dan ia sedikit melegakan saya apabila ATM turut kehilangan bek berpengaruh, Irwan Fadly Idrus,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Bojan yang berasal dari Croatia, tidak mahu cepat mengalah dan tetap melaungkan keyakinan bahawa pemain lain mampu menggantikan tempat Ghaddar dan Norfarhan di posisi serangan.

“Saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan dan tetap mahu beri persembahan terbaik ketika berdepan ATM pada perlawanan akhir nanti.

“Saya kini tertumpu kepada Norshahrul Idlan Talaha, Afiq Azmi, Mohd Ramzul Zahini Adnan dan Azlan Ismail.

“Saya juga mempunyai pilihan lain dengan meletakkan Indra Putra Mahayuddin dari bahagian tengah ke posisi penyerang,” jelas beliau lagi.

Ketika ditanya mengenai prestasi ATM yang patut digeruni, Bojan mengakui ATM sebuah pasukan yang kuat kerana dibarisi pemain berpengalaman dan berstatus kebangsaan.

“Saya tidak nafikan ATM antara salah satu pasukan yang terhebat. Bukan setakat memiliki barisan pemain yang hebat, tetapi juga mempunyai jurulatih yang bijak.

“Mereka sangat bagus dan terbaik tetapi saya tetap yakin pemain kami sudah bersedia untuk mendapatkan kemenangan,” jelas beliau.