Farizal tak rela dirobek

PENTAS final Piala Malaysia kali ini dilihat cukup bermakna buat penjaga gol Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Farizal Harun.

Musim lalu, Farizal dilihat sekadar memanaskan bangku simpanan ketika ‘bekas majikan’, Negeri Sembilan mengecewakan Terengganu di pentas final.

Justeru, anak jati Seremban itu berazam mahu memastikan Kelantan ‘berputih mata’ menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Tahun lepas saya hanya menyaksikan perlawanan akhir dari tepi padang. Sebab itu saya lebih bersemangat kali ini apabila turut sama beraksi.

“Ini baru pentas final yang sebenar buat saya, jadi saya harap saya dapat mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan gawang ATM tidak dibolosi Kelantan nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Farizal yang mesra dengan panggilan Ejai dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya juga tidak mahu memandang mudah cabaran Kelantan biarpun lawan dilihat agak tempang tanpa Mohammad Ghaddar dan Nor Farhan Mohammad yang terpaksa melupakan pentas final kali ini gara-gara mengutip kad kuning kedua.

“Ketiadaan Ghaddar dan Nor Farhan mungkin dilihat memberikan sedikit kelebihan buat kami.

“Cuma pada masa sama, harus diingat majoriti pemain Kelantan dilihat cukup berpengalaman beraksi dalam suasana final, jadi kami harus lebih berwaspada,” tegasnya.

Menganggap kejayaan ATM menempah slot final sebagai sesuatu yang cukup istimewa, Farizal juga tidak mahu rakan-rakan sepasukannya gementar ketika beraksi di Stadium Shah Alam kelak.

“Saya harap kami dapat bermain seperti biasa serta mematuhi segala percaturan jurulatih, B. Sathianathan.

“Jika berjaya mendakap trofi Piala Malaysia, tidak lain tidak bukan saya dedikasi kemenangan ini kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa menyokong penuh karier saya sebagai pemain bola sepak,” kata Farizal.