FAM ‘syok sendiri’ – Khalid Ali

Kuala Lumpur: Status profesional bola sepak negara atas sekadar nama saja! Demikian tegas bekas pemain negara, Khalid Ali yang menyifatkan kegagalan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia melunaskan bayaran gaji pemain dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya tidak berlaku lagi.

“Ini bukan isu baru, tetapi saban tahun masalah pasukan gagal membayar gaji pemain dan mencarum kepada KWSP masih berlaku. Adakah ini boleh dikatakan bola sepak negara berstatus profesional? Bagi saya kita hanya profesional atas nama saja.

“Sepatutnya, FAM mencari jalan bagi mengatasi masalah ini supaya tidak berulang dan cara terbaik menyimpan sebahagian geran tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada negeri membayar tunggakan gaji pemain atau caruman kepada KWSP andai ada yang tertunggak.

“Jika tiada tunggakan, negeri boleh menerima baki sebahagian geran itu pada setiap tamat akhir musim,” katanya semalam.

Kelmarin, FAM mengeluarkan amaran kepada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia supaya melunaskan pembayaran gaji pemain sebelum tarikh akhir pendaftaran pada 26 November ini atau pasukan terbabit berdepan risiko tidak dibenarkan bertanding musim depan.

FAM juga menuntut 10 pasukan menyelesaikan segera tunggakan caruman KWSP yang berjumlah RM2.1 juta musim ini.

Amaran FAM itu turut dilaporkan dalam agensi berita antarabangsa, Reuters sekali gus mencemarkan reputasi bola sepak negara kerana ia tersebar ke seluruh dunia mengenai kegagalan pasukan membayar gaji dan caruman KWSP.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan FAM yang membuat pusingan ‘U’ dengan menukar format daripada 24 pasukan kepada hanya 16 pasukan yang layak bertanding Piala Malaysia tahun depan, Khalid menyambut baik langkah itu kerana ia mampu mengekalkan prestij piala keagungan itu.

“Orang luar walaupun bodoh sekali pun, kita perlu ambil kira pendapat mereka. Saya pasti walaupun bukan semua boleh diambil tetapi niat mereka tetap sama iaitu mahu lihat peningkatan kualiti bola sepak negara.

“Sepatutnya sebelum membuat sebarang keputusan, perkara ini perlu dibincang dengan semua pihak. Mungkin mereka (FAM) baru sedar. Bukan tidak boleh banyak pasukan dibenarkan bertanding tetapi kita kena fikir banyak perkara.

“Kalau banyak pasukan dibenarkan bertanding, kita juga kena fikir soal bajet dan kemampuan sebenar kita untuk menganjurkannya,” katanya.