Dr Sheikh Muszaphar bakal bintangi filem pengembaraan angkasa lepas

KUALA LUMPUR – Angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan membintangi filem pengembaraan di angkasa lepas berdasarkan pengalaman sebenar beliau dalam naskhah ‘N01-10 HARI: 21 JAM:14 MINIT DI PINTU AJAL’.

Filem arahan Imran Ismail itu, yang menggabungkan teknik imej janaan komputer (CGI) dan imej tiga dimensi selain penggunaan ‘footage’ yang dirakam Dr Sheikh Muszaphar ketika di angkasa lepas, bakal ditayangkan di pawagam pada Mac tahun depan.

Dr Sheikh Muszaphar berkata sukar untuk beliau menceritakan pengalaman ketika berada di angkasa lepas kepada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka perlu merasai dan menjiwai sendiri perasaan ketika berada di atas sana dengan menonton filem ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan filem itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Dr Sheikh Muszaphar juga berharap filem itu dapat menjadi platform terbaik bagi menggambarkan secara terperinci keadaan di angkasa lepas khusus untuk tatapan segenap lapisan masyarakat.

“Sebabnya kita tidak pasti bila lagi Malaysia akan menghantar seorang Angkasawan ke sana,” katanya. – Bernama