Daren akhiri penantian

TANPA diletakkan sebarang harapan, wakil tunggal negara beraksi di final kejohanan badminton Terbuka Perancis, Liew Daren akhirnya muncul sebagai juara sekali gus menyelamatkan maruah ketika pasangan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terkandas di suku akhir.

Lebih bermakna ia adalah gelaran pertama buat pemain yang berusia 25 tahun itu sepanjang kariernya sebagai pemain perseorangan negara.

Daren yang mara ke perlawanan akhir apabila menewaskan jaguh ternama Denmark yang juga pilihan keenam kejohanan, Jan O Jorgensen 18-21, 21-17, 21-10 di separuh akhir dalam pertarungan tiga set, kelmarin, memerlukan 42 minit untuk menjinakkan juara remaja dunia 2010 dari Denmark, Viktor Axelsen, 21-18, 21-17 di final, semalam.

Menghuni ranking ke 26 dunia, Daren bagaimanapun gagal mengawal perasaan gemuruh di awal set pertama apabila ketinggalan 1-5 sebelum bangkit mengikat kedudukan menjadi 6-6.

Mula mendapat keyakinan selepas itu, Daren terus menyusun rentak untuk mendahului tanpa memberi peluang kepada lawan sebelum menang dalam pertarungan yang memakan masa 20 minit.

Set kedua, menyaksikan Viktor cuba untuk bangkit dan mula mengejar mata demi mata dalam usahanya membawa perlawanan ke set penentuan.

Kealpaan Daren membuka laluan buat Viktor untuk mendahului dua mata di kedudukan 16-14 pada suatu ketika.

Begitupun usaha Daren dengan mengajak lawan bergerak ke setiap penjuru gelanggang akhirnya berbaloi apabila kembali menguasai perlawanan untuk menang di set kedua sekali gus dinobatkan sebagai juara buat kali pertama dalam kariernya.

Kejayaan Daren itu mungkin melegakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana kini mampu menyandarkan harapan kepada pemain itu selaku pemain perseorangan kedua negara selepas Datuk Lee Chong Wei, namun mereka perlu memberi penjelasan terhadap kemerosotan pasangan beregu negara.

Seperti ada yang tidak kena, pasangan Korea terus menjadi badi buat beregu emas negara, Kien Keat-Boon Heong apabila kecundang lagi buat sekian kalinya kepada pasangan Korea dan kali ini menjadi mangsa kepada Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae di suku akhir dalam pertarungan tiga set kelmarin.