City perlu menang

AMSTERDAM – Manchester City tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Ajax Amsterdam pada aksi Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara di Amsterdam Arena awal pagi esok.

Tiga mata penuh perlu dibawa pulang skuad kendalian Roberto Mancini itu jika tidak mahu kekecewaan musim lalu berulang apabila mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Dilabel sebagai ‘kumpulan maut’, City kini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan D apabila mengumpul satu mata, lima mata di belakang Real Madrid selaku pendahulu dan tiga mata di belakang Borusia Dortmund yang menghuni tangga kedua.

City memulakan kempen musim ini dengan hambar apabila tewas 2-3 kepada Real sebelum sekadar seri 1-1 dengan Dortmund.

Biarpun Ajax merupakan juara Liga Belanda namun kelab itu dilabel sebagai pasukan paling lemah dalam Kumpulan D dan City berharap dapat menggunakan kelebihan itu bagi mencatatkan kemenangan.

Namun, ia dianggap masih belum memadai kerana berdasarkan rekod City musim lalu, skuad The Citizen yang diundi bersama-sama Napoli, Villarreal dan Bayern Munich tetap gagal layak ke pusingan kalah mati biarpun mengumpul 10 mata.

City dilihat mendapat tonik terbaik sebelum berdepan Ajax apabila mereka mempamerkan aksi konsisten selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan West Bromich Albion 2-1 dalam saingan Liga Perdana England, Sabtu lalu.

City yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas James Milner dilayangkan kad merah, memperoleh gol kemenangan menerusi dua jaringan penyerang Bosnia Herzegovina, Edin Dzeko.

Berdasarkan aksi konsistennya itu, Dzeko berharap dapat diturunkan dalam kesebelasan utama pada pertemuan dengan Ajax.

“Dzeko tidak akan kekal sebagai pemain gantian sahaja kerana dia juga akan diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama seperti mana yang diberikan kepada pemain-pemain lain.

“Kami memiliki 24 pemain dan empat daripadanya kini menjalani proses pemulihan akibat kecederaan. Jadi, kami hanya mempunyai 20 pemain sahaja untuk disenaraikan.

”Dzeko yang masuk sebagai pemain gantian (ketika menentang West Bromich) berjaya menjaringkan dua gol. Ia sekali gus meletakkan namanya sebagai pilihan utama pengurus (Mancini) untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Ajax.

“Kami memilih kesebelasan utama berdasarkan keperluan bagi menentang Ajax,” kata penolong jurulatih City, David Platt.

City dijangka kehilangan khidmat perancang utama, David Silva yang mengalami kecederaan hamstring selain Maicon (kaki), Jack Rodwell (hamstring) dan Javi Garcia (paha).