Chelsea ibarat Barca – Fletcher

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Darren Fletcher menganggap perlawanan sukar menentang Chelsea ibarat pertemuan menentang Barcelona.

Menurut Fletcher, dia berkata demikian bukan sekadar pujian kosong tetapi realitinya mereka (United) harus sedar bahawa pasukan kendalian Roberto Di Matteo itu sedang berusaha memusnahkan mereka.

Fletcher, 28, yang baru pulih daripada kecederaan panjang berharap dapat diturunkan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan Liga Perdana England ketika bertandang ke Stamford Bridge, Ahad ini.

Kecergasannya telah terbukti apabila dia diturunkan dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara serta satu perlawanan Piala Liga serta dua tugasan bersama Scotland.

Fletcher juga percaya yang dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan muka-muka baharu Chelsea serta berhasrat terus menekan mereka selaku pendahulu.

“Kami perlukan keputusan yang baik di Stamford Bridge dan itu pernah terjadi dahulu dalam perlawanan liga sebelum ini.

“Kami tahu mereka kini dalam prestasi sangat baik dalam liga tetapi mereka telah kalah dalam kejohanan Eropah minggu ini dan itu sedikit memberi kelebihan kepada kami,” katanya.

Katanya, United kini sudah bersedia sepenuhnya untuk mencatat kemenangan tetapi tetap menganggap Chelsea adalah skuad yang berbeza kali ini.

“Jika dahulu mereka memiliki kelebihan fizikal yang besar dan tegap di bahagian tengah seperti Michael Ballack, Claude Makalele dan Frank Lampard serta Didier Drogba di hadapan.

“Sekarang mereka sedikit berlainan, seperti pemain Barcelona. Pemain mereka bertubuh kecil, licik serta mempunyai hantaran tepat. Itu sedikit perbezaan namun kami bersedia menghadapinya,” kata Fletcher. – Agensi