Cabaran di bumi Denmark

IMPIAN beregu campuran negara yang menggandingkan Tan Boon Heong-Chin Eei Hui untuk melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2012 semalam tidak kesampaian.

Dalam saingan kelayakan kejohanan yang membuka tirainya semalam itu, pasangan negara terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Thailand yang juga pilihan kedua, Patiphat Chalardchaleam-Savitree Amitrapai dengan keputusan 13-21,18-21.

Biarpun dilihat cuba mengheret perlawanan ke penentuan rubber set sebaik tewas mudah pada set pertama, Boon Heong-Eei Hui akhirnya gagal menyerap tekanan sebelum kecundang.

Begitupun, ia bukan penamat perjuangan Boon Heong apabila gandingannya bersama Koo Kien Keat bakal membuka cabaran pusingan pertama beregu lelaki hari ini.

Namun, ia pastinya bukan satu tugas yang mudah kerana mereka dijadualkan berdepan pasangan Korea Selatan, Lee Yong-dae dan Ko Sung-hyun.

Tampil selaku pilihan ketiga kejohanan, ranjau cukup berliku dijangka menanti Boon Heong-Kien Keat dalam usaha mereka menempah pentas final jika berjaya menjinakkan pasangan dari Korea Selatan itu.

Skrip yang lebih kurang sama juga menyelubungi Eei Hui dalam acara beregu wanita apabila gandingannya bersama Goh Liu Ying terpaksa berdepan pilihan pertama kejohanan, Tian Qing dan Zhao Yunlei dari China seawal pusingan pertama hari ini.

Turut memulakan cabaran hari ini ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sebagai pilihan pertama kejohanan, Chong Wei dijangka tidak berdepan masalah memadam cabaran peserta tuan rumah, Viktor Axel- sen untuk mara ke pusingan seterusnya.

Dua lagi pemain perseorangan negara, Tan Chun Seang dan Darren Liew juga memulakan misi masing-masing hari ini dalam kejohanan yang berlangsung di Odense, Denmark itu.

Sementara itu dalam satu lagi aksi kelayakan semalam, pemain remaja negara, Zulfadli Zulkiffli mudah memadam cabaran pemain tuan rumah, Flemming Quach dengan keputusan straight set 21-17 21-14 dalam tempoh 36 minit dan dijadual bertemu pemain Ireland, Scott Evans dalam aksi kelayakan kedua lewat malam tadi.