Barcelona bernasib baik

MADRID – Bagaikan ‘cencaru makan petang’, Barce- lona berjaya meledak dua gol pada penghujung perlawanan sebelum menewaskan Sevilla 3-2 dalam aksi Liga Sepanyol awal pagi semalam.

Dengan keputusan itu, The Catalan kini kekal menerajui saingan liga dengan 18 mata maksimum selepas enam perlawanan setakat ini.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Tito Vilanova itu berjaya memanfaatkan kekurangan Sevilla yang tempang dengan 10 pemain selepas Gary Medel di- buang padang selepas mengasari Cesc Fàbregas pada minit ke-78.

Sevilla terlebih dahulu mendahului 2-0 menerusi jaringan Piotr Trochowski dan Alvaro Negredo sebelum Fabregas merapatkan kedudukan pada minit ke- 53.

Kelebihan Sevilla akhirnya tidak bertahan lama sebaik Medel dilayangkan kad merah apabila Fàbregas berjaya menyamakan kedudukan kira-kira seminit sebelum perlawanan berakhir.

Penyerang gantian, David Villa akhirnya muncul wira Barcelona apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

“Medel memang patut dibuang padang. Kekasaran yang dilakukannya cukup melampau,” kata Tito.

Begitupun jurulatih Sevilla, José Miguel González yang diarahkan meninggalkan padang gara-gara tidak berpuas hati dengan insiden tersebut kekal memuji kesungguhan pemainnya dalam perlawanan itu.

“Pemain saya beraksi dengan cukup bagus ketika berdepan pasukan yang hebat seperti Barcelona.

“Ia satu keputusan yang tidak adil, sudah tentu saya kecewa dengan kekalahan ini,” kata José Miguel.

Dalam perlawanan lain, Malaga mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini apabila membelasah Real Betis 4-0 manakala Valencia menewaskan Zaragoza 2-0.

Real Sociedad juga berjaya melakar kemenangan apabila mengatasi Athletic Bilbao dengan keputusan 2-0 dalam satu lagi perlawanan semalam. – AFP