Ballack rasmi bersara

BEKAS kapten Jerman, Michael Ballack mengumumkan persaraannya semalam, mengakhiri karier yang penuh gemilang.

Ballack yang menyambut hari lahir ke-36 bulan lalu, tidak mempunyai sebarang pasukan selepas kontraknya bersama pasukan Bundesliga, Bayer Leverkusen berakhir Jun lalu.

Sejak meninggalkan Leverkusen, Ballack dikatakan berbincang dengan kelab di Major Soccer League (MSL), Amerika Syarikat dan Liga-A Australia tetapi memutuskan untuk menggantung but.

“Pada usia 36 tahun, saya boleh melihat kembali musim yang panjang dan istimewa sebagai pemain bola sepak profesional, sesuatu yang tidak pernah saya impikan ketika kecil,” katanya.

“Satu penghormatan untuk bekerja dengan jurulatih bertaraf dunia dan pemain hebat.

“Sudah pasti saya akan rindukan zaman bermain dan menjaringkan gol di hadapan 80,000 penyokong tetapi beberapa bulan tanpa bola sepak menunjukkan kepada saya bahawa masanya sudah tiba untuk pergi.

“Saya kini melihat babak baru dalam hidup saya dan berterima kasih kepada keluarga dan individu hebat yang membantu dan menyokong saya. Mereka sebahagian daripada kejayaan saya.”

Ballack membuat penampilan ke-98 dan terakhir bersama Jerman apabila menjadi kapten pada perlawanan persahabatan menentang Argentina pada Mac 2010, selepas membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada 1999 apabila menentang Scotland.

Kecederaan ketika bermain untuk Chelsea dalam final Piala FA pada Mei 2010 selepas terjahan keras pemain Portsmouth, Kevin Prince-Boateng, menyebabkannya tidak dapat beraksi pada Piala Dunia Afrika Selatan dan gelaran kapten Jerman diserahkan kepada Philipp Lahm. Selepas bermain untuk Kaiserslautern, Leverkusen dan Bayern Munich dalam Bundesliga, Ballack menghabiskan masa empat tahun di Stamford Bridge bersama Chelsea dari 2006 hingga 2010.

Ballack beraksi dalam dua Piala Dunia selepas digantung pada final 2002, apabila Jerman tewas 0-2 kepada Brazil di Jepun sebelum membantu Jerman menduduki tempat ketiga edisi 2006 sewaktu mereka menjadi tuan rumah.

Selepas bertelagah dengan jurulatih Jerman, Joachim Loew pada Oktober 2008, apabila Ballack menuduhnya tidak menunjukkan kesetiaan kepada pemain senior, hubungan mereka menjadi keruh.

Kecederaan demi kecederaan menjejaskan musim pertama Ballack kembali bersama Bayer Leverkusen pada musim 2010/2011 dan Loew memberitahu dia tiada lagi dalam perancangannya dan tidak mempunyai masa depan dalam pasukan kebangsaan.

Loew kemudian menawarkan Ballack untuk penampilan terhormat dalam perlawanan persahabatan antara Jerman dan Brazil pada Ogos 2011 tetapi ditolaknya sebelum muncul bersama stesen penyiaran AS, ESPN sebagai pengulas Euro 2012.

“Dia memberi sumbangan bermakna kepada pasukan kebangsaan dan ramai yang mengingati sumbangannya dalam Piala Dunia 2012,” kata presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), Wolfgang Niersbach.

“Lebih elok jika Michael terus berada dalam lapangan bola sepak dengan pengalaman luas dimilikinya, tidak kira apa posisinya,” katanya.

Selepas mendengar mengenai persaraan Ballack, Loew memuji bekas kaptennya tetapi pemain tengah itu sentiasa dikenali di Jerman sebagai pemain yang sentiasa menduduki tempat kedua. Pada 2002, dia menyertai pasukan Leverkusen yang menduduki tempat kedua dalam tiga kejohanan apabila tewas dalam final Piala Jerman dan Liga Juara-Juara selain menduduki tempat kedua Bundesliga.

Dia kemudian digantung dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2002 yang menyaksikan Jerman tewas kepada Brazil di Jepun, selepas dilayangkan kad kuning dan menjaringkan gol kemenangan ke atas Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir. Ballack terus menjadi naib juara 2008 yang menyaksikannya menangis selepas tewas final Liga Juara-Juara di Stadium Luzhniki, Moscow menerusi penalti dan tewas final Euro 2008 kepada Sepanyol.

PROFIL

Nama: Michael Ballack
Tarikh lahir: 26 September 1976
Asal: Goerlitz, Jerman
Posisi: Pemain tengah
Penampilan antarabangsa: Jerman (98 kali)
Jaringan antarabangsa: 42
Penampilan pertama: 28 April 1999 menentang Scotland
Penampilan terakhir: 3 Mac 2010 menentang Argentina
Penampilan Piala Dunia: 2002 (naib juara), 2006 (ketiga)
Kelab: Chemnitzer FC (1993-1997), Kaiserslautern (1997-1999), Bayer Leverkusen (1999-2002), Bayern Munich (2002-2006), Chelsea (2006-2010), Bayer Leverkusen (2010-2012)