Azzuddin mungkin tinggalkan FAM

ADAKAH Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad akan meninggalkan badan induk bola sepak tanah air itu dalam tempoh terdekat ini?

Itu persoalan yang timbul selepas namanya dikaitkan sebagai calon baru mengisi kerusi Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas penyandang asal Datuk Seri Paul Mony Samuel sudah menamatkan perkhidmatan beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun Azzuddin yang dilantik Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bagi menerajui sekretariat FAM pada September 2007 menafikan khabar angin itu namun tidak menolak sebarang kemungkinan selepas ini.

“Bagi saya berita ini spekulasi saja, ia tiada indikasi kepada saya. Saya tidak tahu bagaimana berita ini ditimbulkan di blog tapi kontrak Datuk Seri Paul Mony Samuel memang betul sudah tamat dan mereka sedang mencari calon baru.

“Tapi siapa calon baru itu saya tidak tahu. Calon itu boleh jadi sesiapa saja daripada wakil 10 negara Asean,” katanya. ketika ditemui pada Majlis Anugerah Bola Sepak kebangsaan 2012 semalam.

Azzuddin yang menggantikan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad sebelum ini dikatakan calon paling layak menerajui pentadbiran di AFF berdasarkan pengalaman beliau dalam arena bola sepak.

Ketika sekretariat di bawah kendaliannya, Malaysia merangkul beberapa kejayaan iaitu pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Indonesia 2011 serta Piala Suzuki AFF 2010.

Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai pemain dengan mewakili Angkatan Tentera Malaysia serta menyarung jersi negara pada 1970an dengan pencapaian terbaiknya membantu negara menjadi naib juara Pesta Bola Merdeka pada 1972.

Meskipun menganggap berita itu sebagai spekulasi, Azzuddin tidak menolak kemungkinan untuk memberikan khidmat bersama AFF sekiranya mendapat arahan presiden Sultan Ahmad Shah.

“Tidak sesuai untuk menyatakan minat saya ketika ini kerana tiada perbincangan langsung mengenai perkara ini. Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) juga menjadi Presiden AFF, jika Tuanku bertitah, saya mungkin tiada pilihan. Presiden berhak menamakan calon dan kemudian mestilah mendapat persetujuan semua Ahli Majlis AFF.

“Jika saya bertugas dengan AFF, saya kena melepaskan jawatan di FAM, saya tidak boleh pegang dua jawatan, tapi buat masa ini tidak bagus untuk saya komen,” katanya.