Atletico Madrid mahu pintas Barca

MADRID: Kelab yang berada dalam kelompok atasan La Liga akan beraksi dua malam berturut-turut di bandar utama Sepanyol minggu ini tanpa pembabitan Real Madrid.

Real yang juga juara bertahan, akan berkunjung ke Mallorca awal pagi Isnin dan ketika ini menduduki tangga keempat.

Mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu bersama, Barcelona yang akan berkunjung ke Rayo Vallecano awal pagi esok manakala seteru utama, Atletico Madrid menanti kunjungan Osasuna awal pagi Isnin.

Atletico yang berkongsi 22 mata dengan Barcelona, sudah mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut sejak perlawanan pertama dan dilihat begitu meyakinkan.

Radamel Falcao berada pada prestasi terbaik selepas menjaringkan gol pada setiap 10 perlawanan terakhir yang dilaluinya dengan jumlah 16 jaringan sepanjang tempoh itu, termasuk empat gol dalam tiga perlawanan bersama skuad kebangsaan Colombia.

Selepas direhatkan di saingan Liga Europa, dia dilihat mampu menambah jumlah 10 gol yang sudah dijaringkannya, termasuk gol menerusi sepakan percuma pada minit terakhir ketika mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Real Sociedad, minggu lalu.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone pantas menghamburkan pujian tinggi buat Falcao.

“Ketika ini, dia antara tiga pemain terbaik dunia. Dia muncul penjaring terbanyak dalam dua perlawanan terakhir Liga Europa.

“Falcao membantu Atletico memenangi Piala Super Eropah dan walaupun Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berada pada kelas tersendiri, Falcao juga mempunyai ‘standard’ tersendiri, kata Simeone.

“Tidak ramai yang mempunyai sentuhan penyudah baik sepertinya dan dia semakin bagus dari semasa ke semasa. Falcao begitu agresif ketika berada dalam kotak penalti.” Seorang lagi pemain yang bakal menyertai Falcao adalah pemain sayap Turki, Arda Turan yang diketepikan ketika Atletico mencatat kemenangan di Sociedad.

“Arda berjaya mengubah corak permainan kami kerana dia mampu mempertajamkan bahagian serangan. Saya harap dia dapat kembali semula secepat mungkin, tetapi kami memerlukannya dalam tempoh yang panjang,” kata Simeone. – AFP