250 teksi mogok di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Tidak puas hati dengan perkhidmatan bas percuma Go KL yang didakwa menyebabkan kemerosotan pendapatan sehingga 70 peratus, lebih 250 pemandu teksi bertindak mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang, petang semalam.

Himpunan secara aman itu bermula kira-kira jam 2 petang hingga 7.30 malam membabitkan sekitar kawasan pusat beli-belah Pavillion hingga ke Lot 10.

Perbuatan pemandu terbabit yang kebanyakannya ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Bintang sesak teruk apabila laluan digunakan untuk melakukan bantahan itu terpaksa ditutup.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat persatuan itu kelmarin, perhimpunan juga dibuat sebagai bantahan terhadap masalah ulat teksi ‘Arab’ dan perkhidmatan teksi sapu serta beberapa tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mereka anggap menekan pemandu teksi berlesen.